Penguatkuasaan dan hukuman diperlukan, bukan larian

Sunday 20 April 2014

Larian "hapus rasuah" sesuai kerana semua pelaku salah yang terbesar dapat 'lari' daripada sebarang tindakan, seperti yang dicerminkan dalam kadar sabitan kes rasuah besar dalam beberapa tahun lepas.


Mereka yang menganjurkan larian bebas-rasuah di Kuala Lumpur hari ini sama ada hendak mencapai tahap simbolik yang tinggi, atau tidak berapa jelas tentang konsep 'bebas-rasuah'.

Gerakan, sebagai pihak penganjur larian tersebut berjaya mendapatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk merasmikan dan turut serta dalam larian 3km bersama 3,000 peserta selepas sesi bersenam 10 minit.

Dan itu sahajalah acaranya.

Persoalannya, bagaimana semua ini membantu membanteras rasuah?

Menyertai larian atau menjalankan kempen untuk memastikan mereka yang korup dipenjarakan dan semua kebocoran ditutup?

Tahun lepas, Malaysia naik sedikit dalam kedudukan Indeks Ketelusan Antarabangsa dan Persepsi Rasuah (Transparency International Corruption Perceptions Index), tetapi kekal dalam lingkungan purata sederhana yang menunjukkan perjuangan yang sukar dalam menentang rasuah.

Malaysia mendapat skor 50, dalam kedudukan ke-53 daripada 177 negara yang ditinjau pada 2013 berbanding dengan skor 2014 yang menampakkan Malaysia di tangga ke-49 daripada 176 negara.

Putrajaya sudah pun membelanjakan RM983 juta untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2009 dan 2013, dan menubuhkan mahkamah khas untuk rasuah tetapi hasilnya tidak seberapa, memulangkan hanya RM17 juta dalam jangka tersebut.

"Dalam jangka masa yang sama, jumlah keseluruhan wang rasuah yang terlibat adalah RM 57,698,540.41 dan jumlah wang yang dipulangkan dalam rampasan adalah RM 17,083,729.91.

"Ini merangkumi 5.9% dan 1.7% masing-masing berbanding peruntukan yang diberi untuk menentang rasuah," ahli Parlimen Kampar, Ko Chung Sen berkata Oktober lepas.

Jadi, mengapa kita mengadakan larian ini?

Ataupun ini memang sesuai kerana semua pelaku salah yang terbesar dapat 'lari' daripada sebarang tindakan, seperti yang dicerminkan dalam kadar sabitan kes rasuah besar dalam beberapa tahun lepas.

Larian ini menunjukkan betapa Putrajaya dan kerajaan memerintah percaya lebih kepada simbolik daripada melakukan sesuatu untuk menghentikan rasuah dalam negara.

Kerajaan perlu lakukan lebih dalam menentang rasuah daripada menyertai larian yang berguna untuk gambaran baik sahaja.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.