Lawak: Najib Ketuai Larian 'Hapuskan Rasuah'

Sunday 20 April 2014

"Tujuan utama ialah untuk menghapuskan rasuah. Rasuah bukanlah budaya kita serta tidak memberi apa-apa rezeki sebaliknya ia hanya melumpuhkan kestabilan ekonomi negara. Keupayaan menangani rasuah perlu menjadi tanggungjawab semua pihak..


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengetuai kira-kira 3,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat dalam larian tiga kilometer di sini bagi menunjukkan komitmen untuk menjadikan negara bebas rasuah.

Larian yang bermula dan berakhir di Padang Merbok itu dinamakan Larian 'Hapuskan Rasuah, Jangan Beri Jangan Terima', anjuran Parti Gerakan.

Najib yang diiringi Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Ketua Wanita Gerakan yang juga pengerusi penganjur larian, Datuk Tan Lian Hoe, mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menamatkan larian itu.

Sebelum itu, Najib yang tiba pukul 7.45 pagi, turut menyertai senamrobik selama 10 minit bersama peserta mengikut rentak lagu tiga kaum utama di negara ini dan lagu 1Malaysia.

Mah dan Tan kemudian menyerahkan obor kepada Najib sebagai simbolik pelancaran larian itu. Obor itu kemudian diserahkan kepada wakil Gerakan Johor Datuk Teo Kok Chee untuk meneruskan larian pada 24 Mei di Skudai, Johor.


Najib turut melepaskan satu das tembakan sebagai permulaan larian itu. Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusuf dan pemimpin kanan parti Gerakan.

Sementara itu, Tan berkata acara larian khas ini bertujuan mengajak rakyat pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara tanpa mengira latar belakang kaum, agama, jantina dan peringkat umur untuk sama-sama menyokong acara yang cukup murni ini.

"Tujuan utama ialah untuk menghapuskan rasuah. Rasuah bukanlah budaya kita serta tidak memberi apa-apa rezeki sebaliknya ia hanya melumpuhkan kestabilan ekonomi negara. Keupayaan menangani rasuah perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

"Rasuah akan tetap berlaku selagi adanya 'pemberi' dan 'penerima'. Justeru, Larian Hapuskan Rasuah merupakan tanggungjawab individu dalam melahirkan ikrar integriti masing-masing ke arah mewujudkan negara yang bebas rasuah," katanya kepada pemberita selepas acara larian itu.


Tambah Tan, larian ini akan dijadikan acara tahunan bagi memupuk kesedaran kepada semua pihak supaya jangan memberi dan jangan mengambil rasuah, serta menolak perbuatan keji itu.

"Larian ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada (usaha menghapuskan) amalan rasuah, tetapi juga menyihatkan badan dan minda. Jika minda sihat, maka rakyat akan faham amalan keji rasuah pemusnah bangsa dan keharmonian negara," katanya.

Bagi pelajar kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia, cawangan Kuala Lumpur, T.Viknesvaran, 20, menyertai larian sebegini adalah sesuatu yang memberi manfaat kepada semua, memandangkan ia sebagai satu kempen terbaik untuk menyedarkan orang ramai ke arah sikap yang lebih positif.

"Acara ini perlu diteruskan agar meningkatkan kesedaran antirasuah di kalangan pelajar sekolah supaya gejala negatif itu boleh dibanteras," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.