Utusan dan NST juga spekulator MH370..apa tindakan?

Monday 14 April 2014

Rakyat sememangnya mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu MH370 ini kerana terlalu banyak percanggahan dalam maklumat yang disampaikan. Bahkan muatan kargo pesawat itu masih disembunyikan.


Kini Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein membakulsampahkan teori Utusan Malaysia bahawa CIA terlibat di dalam kehilangan MH370. Adakah beliau serta kerajaan akan menyelar lidah rasmi mereka itu sepertimana media asing?

Hishamuddin menolak cadangan Utusan minggu lepas bahawa agensi perisikan persekutuan Amerika (CIA) memainkan peranan di dalam kehilangan pesawat Boeing MAS, sambil membandingkan laporan bersifat spekulasi itu dengan media Barat. Beliau berkata mereka bebas berbuat begitu.

“Akhirnya, jika mereka membuat laporan palsu, mereka hilang kredibiliti,” kata beliau kepada wartawan ketika melawat persediaan bagi Pameran Perkhidmatan Pertahanan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Wah! Dahulu Hishamuddin ada berkata Pejabat Peguam Negara mengkaji tindakan menyaman media, terutamanya dari luar negara, yang membuat spekulasi. Adakah Hishamuddin akan menyaman Utusan, lidah rasmi Umno itu?

Utusan Malaysia selalunya akan terlepas dengan laporan yang berbaur perkauman dan agama yang mengancam perpaduan negara.

Pada 7 April, Utusan Malaysia berkata, sudah tiba masanya berfikir di luar kotak tentang insiden ini. Katanya, ia mungkin satu usaha mengeruhkan hubungan di antara Malaysia dan China.

Berbekal teori konspirasi bahawa CIA terlibat di dalam peristiwa September 11, akhbar itu berkata dakwaan seperti itu tidak wajar diketepikan sebagai tidak masuk akal.

“Jika CIA boleh mengatur serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada Sept 11, 2001, mereka juga mampu melakukan sesuatu berhubung MH370,” tulis penolong pengarang Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussein.

Hishamuddin bagaimanapun berkata penyertaan Amerika Syarikat di dalam pameran perkhidmatan pertahanan Asia tidak menyokong teori itu.

“Jika CIA terlibat, mereka tidak mungkin berminat menyertai pameran ini secara besar-besaran,” katanya.

Misteri kehilangan MH370 telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan teori konspirasi yang diputar media cetak dunia dan laman Internet. Ini termasuk pesawat MAS itu didakwa mendarat di pengkalan tentera AS Diego Garcia yang terletak di tengah-tengah Lautan Hindi.

Seorang jurucakap kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwan itu.

Penafian Hishamuddin kali ini merupakan yang kedua dalam tempoh dua hari.

Beliau juga disoal berhubung laporan muka depan New Straits Times, yang mendakwa pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid membuat panggilan kecemasan apabila pesawat itu berada di dalam ruang udara berhampiran Pulau Pinang.

“Saya tidak boleh komen kerana jika benar, kami sudah tentu tahu lebih awal,” katanya yang dipetik Bernama.

Dalam pada itu, lebih 50% rakyat Malaysia percaya kerajaan Barisan Nasional tidak telus di dalam memberi maklumat tentang kehilangan MH370, menurut kajiselidik portal The Malaysian Insider (TMI).

Daripada 1,029 yang disoal didalam kajiselidik yang dilakukan Merdeka Centre, 54 peratus berkata Putrajaya tidak telus di dalam berkongsi maklumat.

Dua puluh enam peratus lagi setuju kerajaan telus di dalam memberi penerangan sementara 20 peratus lagi tidak tahu samada kerajaan jujur atau tidak.

Rakyat sememangnya mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam menangani isu MH370 ini kerana terlalu banyak percanggahan dalam maklumat yang disampaikan. Bahkan muatan kargo pesawat itu masih disembunyikan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.