Tiga rentung termasuk kanak-kanak dan warga emas selepas rumah didiami mereka terbakar dalam dua kejadian berasingan di Kota Marudu dan Tuaran, awal pagi tadi.
Dalam kejadian di Kota Marudu, Majiius Napas, 42, dan anak lelakinya berusia empat tahun, Alexwin ditemui rentung di ruang tamu rumah mereka yang terbakar di Kampung Kirangawan, kira-kira jam 1 pagi.
Difahamkan sebelum kejadian, dua mangsa terbabit sedang nyenyak tidur sebelum api mula marak dan merebak dengan cepat lalu memusnahkan rumah jenis papan itu. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, berkata kebakaran disedari jiran mangsa yang kemudiannya cuba menyelamatkan mereka namun gagal.
“Pihak bomba yang melakukan operasi memadam kebakaran turut mengalami sedikit kesukaran berikutan tiada sumber air yang mencukupi selain lokasi kejadian yang jauh,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.16 pagi.
“Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran. Laporan awal mendapati kejadian ini membabitkan dua buah rumah jenis kayu dan kita juga telah menemui dua mangsa lelaki yang rentung dalam insiden berkenaan,” katanya.
Dalam kejadian di Tuaran, seorang wanita warga emas berusia 81 tahun ditemui rentung di dalam bilik tidurnya selepas kediamannya di Kampung Bundung, musnah terbakar, kira-kira jam 12.30 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Piduh Ejap dan difahamkan sebelum kejadian, mangsa juga dikatakan sedang tidur di dalam biliknya serta gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku. Afendy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.33 pagi.
“Sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota kemudian tiba di lokasi beberapa minit kemudian untuk mengawal kebakaran, bagaimanapun selepas api berjaya dipadamkan, pihak kami menemui ada mangsa rentung di bahagian bilik tidur rumah terbabit,” katanya. D
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abd Malek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan masih dijalankan.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.