ADUN Paloh Cedera, Isteri Maut Dalam Kemalangan

Friday 18 April 2014

IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan kawasan Paloh, Datuk Nozula Mat Diah mengalami cedera ringan manakala isterinya Datin Maziah Din maut dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di sini, Khamis.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata anak lelaki pasangan itu berumur 20-an juga berada dalam kenderaan yang dipandu Nozula.

Beliau berkata mereka yang selamat kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, mayat Maziah dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

"Berdasarkan maklumat yang diterima kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano yang dipandu sendiri oleh Nozula dipercayai terbabas dan merempuh tebing bukit dalam kejadian pukul 6.30 petang," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh Khamis malam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata kesemua mangsa sedang dirawat dan masih mengalami trauma.

Pihaknya akan memastikan mangsa stabil sebelum mengambil maklumat lanjut kejadian, katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.