30,000 pelancong China batalkan percutian ke Malaysia

Thursday 10 April 2014

Pelancong China merupakan penyumbang ketiga terbesar selepas Singapura dan Indonesia dengan rekod 1.6 juta orang tahun lepas. Manakala sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 kerajaan menyasarkan kehadiran 28 juta pelancong ke negara ini.

MH370, Malaysia, China, MAS, Pelancongan

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mendedahkan kira-kira 30,000 pelawat China membatalkan pakej pelancongan mereka ke Malaysia sehingga 2015, susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370.

Bagaimanapun beliau berkata angka tersebut tidak mewakili keadaan keseluruhan memandangkan laporan lengkap mengenai jumlah pelancong bagi Mac masih belum diterima.

"Saya difahamkan sebanyak 30,000 pelancong membatalkan pakej ke Malaysia sehingga 2015.

"Kerana itu, saya berkata bahawa sektor pelancongan terjejas. Berdasarkan rekod daripada bulan pertama ke bulan kedua menunjukkan angka amat baik, namun selepas 8 Mac berlaku penurunan di mana saya belum menerima maklumat lengkap," katanya pada sidang media selepas pelancaran program Warnarasa Malaysia di Hotel Royale Chulan Damansara hari ini.

Ditanya ‎apakah langkah bagi kementeriannya untuk mengatasi isu tersebut, Nazri berkata hal pembatalan pelancong China bukan merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan kini.

"Saya tidak fikir kita akan meneruskan apa-apa langkah, kerana ia bukan perkara penting buat masa kini. Memahami budaya rakyat China, mereka perlukan penutup untuk meneruskan hidup, jadi yang penting buat masa ini ialah memberikan mereka jawapan dengan mencari pesawat tersebut," katanya.

Terdahulu, Nazri pada sidang Dewan Rakyat mengakui bahawa tragedi MH370 menyebabkan jumlah pelancong China di Malaysia terjejas. Justeru, beliau berkata kerajaan akan menangguhkan sementara segala promosi Tahun Melawat Malaysia 2014.

Selasa lalu, apabila ditanya pemberita bilakah Tahun Melawat Malaysia akan dimulakan semula, Nazri berkata tidak ada tempoh yang ditetapkan sehingga tragedi MH370 mempunyai “penutup”.

Pelancong China merupakan penyumbang ketiga terbesar selepas Singapura dan Indonesia dengan rekod 1.6 juta orang tahun lepas. Manakala sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 kerajaan menyasarkan kehadiran 28 juta pelancong ke negara ini.

Mengulas mengenai lawatan bersama Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang pada pagi tadi, katanya ia dilakukan sebagai tanda solidariti Malaysia bersama rakyat China terutama waris MH370.

Pertemuan yang beliau sifatkan sebagai positif itu, ‎antara lain menyaksikan jaminan yang diberikan duta China tersebut bahawa hubungan diplomatik bersama Malaysia tidak akan terjejas.

"Dalam pertemuan itu beliau (Dr Huang) menyatakan kepada kita bahawa mereka memahami tragedi MH370 merupakan peristiwa yang tidak dapat dijangka.

"Beliau turut memberi jaminan bahawa tragedi MH370 tidak akan menjejaskan hubungan antara dua negara dan yakin pelancong China akan kembali ke Malaysia setelah mendapat penutup bagi misteri kehilangan pesawat tersebut," katanya.

‎Pada masa sama Nazri juga turut ditanya mengenai insiden penculikan dua wanita di Sabah, seorang pelancong China dan seorang warga Filipina yang merupakan pekerja hotel. Beliau mengakui beberapa tragedi yang berlaku di Malaysia sedikit sebanyak memberi imej negatif kepada negara.

"Sudah tentu negatif, saya tidak akan ada sindrom penafian menyatakan segalanya baik, walhal ia tidak. Kerana itu kita menyarankan pihak menteri berkaitan untuk memperketatkan keselamatan di pantai timur Sabah," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.