Wujudkan Tiga Timbalan Ketua Pengarah Esscom?

Monday, 21 April 2014

Setiap agensi terbabit mempunyai peranan masing-masing namun dalam konteks Esscom, tugas utama mereka ialah mengekang pencerobohan.


KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menyarankan supaya diwujudkan tiga jawatan timbalan ketua pengarah untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Katanya tiga jawatan itu untuk diisi oleh wakil agensi utama dalam Esscom iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"(Jawatan ketua pengarah) Esscom itu sendiri mungkin dinaikkan tarafnya. Sekarang ialah (peringkat) Jusa B, mungkin boleh ditingkatkan," katanya yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kot Kinabalu hari ini.

Terdahulu beliau melawat Beaufort dan mengagihkan bantuan wang ihsan banjir bagi penduduk yang terjejas bencana itu pada Februari lepas.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata setiap agensi terbabit mempunyai peranan masing-masing namun dalam konteks Esscom, tugas utama mereka ialah mengekang pencerobohan.

"Yang penting dalam Esscom tugas ketiga-tiga agensi ini diselaraskan," katanya.

Mengenai wang ihsan banjir, Shahidan berkata hanya mangsa banjir di Tenom belum menerima sumbangan itu.

Beliau turut meminta mangsa banjir yang tercicir daripada senarai wang ihsan agar merujuk pejabat daerah di kawasan masing-masing untuk dipertimbangkan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.