Remaja perempuan meninggal dunia disimbah asid di Penampang

Saturday, 19 April 2014

Seorang remaja perempuan meninggal dunia selepas disimbah asid oleh seorang lelaki misteri di sebuah premis makanan berhampiran Towering, Jalan Penampang dekat Kota Kinabalu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Ratan Kumar Singh berkata mangsa yang dikenali sebagai Memey Kandusan, 19, meninggal dunia kira-kira 11.20 pagi ini selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Queen Elizabeth.

"Difahamkan mangsa sedang bersarapan di kedai berkenaan bersama dua rakannya sebelum didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali, pada kira-kira pukul 5.30 pagi.

"Suspek yang memakai topi itu dikatakan bertindak melempar sejenis cecair dipercayai asid ke bahagian muka mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata tiada tangkapan dilakukan dan motif kejadian masih dalam siasatan. Menurutnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.