"Semoga usaha yang saya lakukan itu akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering terjadi,"
Selepas mengejutkan masyarakat dengan ritual yang dilakukan bagi meramal lokasi pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Mac lalu, Raja bomoh kini mendakwa gangguan puaka menjadi punca nahas mendiang Karpal Singh, lapor portal Suara TV.
Raja bomoh, atau nama sebenarnya Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80 dikatakan melakukan ritual menghalau puaka di sekitar kawasan nahas ahli parlimen Bukit Gelugor itu. Beliau berharap dengan ritual yang dilakukan itu, dapat membantu pengguna lebuhraya melalui kawasan itu yang diganggu puaka.
"Semoga usaha yang saya lakukan itu akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering terjadi," katanya memetik daripada portal tersebut.
Khamis lalu, Karpal maut dalam kemalangan di KM3061.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran Gua Tempurung.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah pembantunya Micheal Cornelius Selvam Vellu, manakala anak mendiang, Ram Karpal dan pemandu kereta terselamat dan pembantu rumah mereka dilaporkan masih lagi dalam kritikal.
Insiden itu dipercayai berlaku apabila kenderaan MPV Toyota Alphard dinaiki mendiang, bersama lima yang lain merempuh belakang lori yang membawa simen, besi, jubin di lorong kiri laluan dua lorong.
Terdahulu, gambar raja bomoh yang dilihat berjalan di sekitar kawasan nahas sambil memegang objek berupa mangkuk dipercayai sedang melakukan ritual menghalau gangguan puaka yang kini tersebar meluas di laman sosial.
Bomoh itu yang mendakwa terkenal di kalangan golongan kenamaan, berkata laluan Gua Tempurung itu sememangnya menjadi tempat bagi mahkluk halus mengganggu pemandu kenderaan, terutamanya waktu malam.
Pada Mac, bomoh itu mencetuskan kontroversi bukan sahaja dengan masyarakat negara, bahkan ke peringkat antarabangsa gara-gara ritual ala tikar terbang dengan disertai pembantunya yang memegang dua biji buah kelapa untuk mengesan lokasi pesawat MH370.
Ekoran tindakannya mendapat pelbagai reaksi termasuklah pemimpin Barisan Nasional (BN) apabila mengakui ritual dilakukan raja bomoh bertentangan dengan ajaran Islam.
Namun raja bomoh yang juga turut mendapat jolokan Bomoh 1 Malaysia, mempertahankan tindakannya dengan menyatakan ia melakukan mengikut apa yang disyariatkan dalam agama.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.