Pencarian kotak hitam makin sukar

Monday, 14 April 2014

Pencarian kotak hitam pesawat MH370 akan menjadi semakin sukar sekiranya terpaksa menggunakan kenderaan bawah laut bebas (AUV) Bluefin-21 memandangkan kedalaman laut yang mencecah 4000 meter.


Penganalisis Aeroangkasa, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia kerana permukaan dasar laut yang berkelodak dan tidak rata menyebabkan kedudukan kotak hitam sukar dikesan.

“Tidak mudah untuk dilihat kedudukan sebenar kotak hitam mungkin kerana ditimbusi pasir memandangkan dasar laut yang berselut.

“Tapi dengan pakar-pakar yang sudah biasa pasti akan membuat penelitian yang terperinci bagi mengesahkan kedudukan sebenar. Untuk membuat secara teliti pastinya memakan masa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, kesukaran mencari kotak hitam akan bertambah susah apabila kehabisan bateri memandangkan pencarian sudah melebihi sebulan.

“Dengan tiga isyarat yang berjaya dikesan minggu lalu, sudah memberikan harapan baru, tapi apabila ia disahkan bukan milik MH370, pencariannya jadi sukar kerana lokasi pencarian tidak boleh dikecilkan.

“Menggunakan kenderaan bawah laut rasanya adalah kaedah terakhir terpaksa digunakan jika dalam sehari dua ini tiada isyarat yang dapat dikesan,” ujarnya.

Selasa lalu, dua isyarat getaran akustik dikesan oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield, manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis yang disahkan tiada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah permukaan air.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata, bagi misi mencari, Ocean Shield terus menumpukan usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan menggunakan alat pengesan ping ditunda.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.