Musa Aman Halang Tian Chua Masuk Sabah

Friday, 18 April 2014

“Pegawai imigresen berkata larangan saya ke Sabah oleh ketua menteri masih kekal." - Tian Chua


Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang hari ini dihalang masuk ke Sabah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam dua petang tadi. Beliau dipercayai mahu ke Kota Marudu bagi meninjau program pemilihan PKR yang dianjurkan oleh Datuk Seri Lajim Ukin.

Chua yang dikenali sebagai Tian Chua dihalang masuk ke Sarawak pada hujung bulan lalu bersama Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli. Kedua-dua mereka ditahan di pejabat Imigresen Sibu sebelum diusir keluar dari negeri Bumi Kenyalang itu.

Chua menerusi akaun Twitter memohon maaf kepada warga Sabah kerana tidak dapat hadir ke negeri itu. Beliau pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat pada jam 3.30 petang tadi.

“Pegawai imigresen berkata larangan saya ke Sabah oleh ketua menteri masih kekal. Saya diiringi oleh pegawai imigresen ke balai berlepas dan menaiki pesawat AirAsia pada 3.30 petang,” katanya menerusi akaun @tianchua.

Chua menyifatkan minggu ini malang baginya kerana bukan sahaja telefon dirampas polis tetapi turut kehilangan rakan seperjuangan, Karpal Singh dan kini dihalang pula memasuki Sabah.

Beliau dihalang memasuki Sabah mengikut Seksyen 65(1) (a) Akta Imigresen 1959/63 di mana pihak berkuasa negeri mengarahkan tiada pas dikeluarkan kepadanya untuk memasuki Sabah.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.