Amaran tegas kepada penjawat awam

Sunday 13 April 2014

"Penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan boleh dipecat, bergantung kepada rahsia yang dibocor,”


PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.

Beliau berkata mereka yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat daripada jawatan mengikut Surat Pekeliling Am dan Arahan Keselamatan Kerajaan.

Justeru itu, beliau mengingatkan semua penjawat awam bahawa mereka bertanggungjawab menjaga kerahsiaan kerajaan di agensi masing-masing bagi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Maka, usaha perlu dipergiatkan untuk memastikan tidak berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan.

"Penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan boleh dipecat, bergantungkepada rahsia yang dibocor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Ironman 70.3 Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan PengerusiBiro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar supaya mengenal pasti dalang yang membocorkan dokumen tidak sah berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 8 April lepas.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempersoalkan lawatan lima hari Muhyiddin ke Dubai yang didakwa mereka tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Ali berkata beliau belum menerima laporan rasmi berhubung dakwaan kebocoran dokumen itu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.