Ahli Parlimen BN Hina Mayat Karpal

Thursday, 17 April 2014

Karpal Singh maut kerana naik kereta, maka untuk selamat marilah ramai-ramai naik kereta api

PETALING JAYA: Ahli parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad (gambar) yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menasihatkan orang ramai menggunakan kereta api untuk lebih selamat.

Beliau membuat kenyataan Ini ekoran kemalangan maut yang membabitkan tokoh DAP, Karpal Singh di kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara dekat Gua Tempurung awal pagi ini.

“Karpal Singh maut kerana naik kereta, maka untuk selamat marilah ramai-ramai naik kereta api,” katanya dalam tweetnya hari ini.

Pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius Selvam Vellu, 39, turut maut manakala anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta itu dilaporkan cedera

Beberapa individu, bagaimanapun tidak bersetuju mengenai kenyataan yang dibuat oleh Nawawi itu.

Sabri Chong menulis ini jenis bodoh sombong, manakala Kaka pula menulis macam bangang perangai. - Free Malaysia Today

Ahli Parlimen BN Langkawi hina gambar mayat Karpal Singh


Tatkala ahli-ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang bersedih dengan kematian bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad menghina mayat pemimpin veteran pembangkang itu di laman Facebooknya.

Sambil memuatkan gambar mayat Karpal dan menyiarkan keratan akhbar penentangan pemimpin itu terhadap hukum hudud, Nawawi mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan pemimpin itu.

"Siapa nak sambut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama he he," tulis Nawawi di akaun Facebook ‘Dato Ir Nawawi Ahmad’ merujuk kepada keratan akhbar bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh".

Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam reaksinya terhadap sesetengah pihak yang tidak menghormati jenazah Karpal meminta semua pihak menunjukkan nilai baik Islam dengan menghormati seseorang yang sudah meninggal dunia.

"Inilah ketinggian akhlak dan budi yang menjadikan Islam itu dihormati. Kegagalan untuk menampilkan akhlak yang baik inilah yang menimbulkan prasangka manusia terhadap Islam dan sekali gus mereka membenci umatnya," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Selain itu, Nawawi yang juga ahli Umno turut menulis tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh.

"Anwar berahim mesti lega bila orang yang arah 'anwar ibrahim harus bertaubat' sudah tiada," tulis Nawawi.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin seolah-olah 'lega' dengan kematian pemimpin DAP itu.

Zulkifli berkata, laluan ke arah pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal.

“Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah matikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya!” tulisnya di akaun Twitter @zulkiflinoordin.

“Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya. Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!”

Zulkifli yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 di Shah Alam yang juga pengamal undang-undang bagaimanapun menganggap kematian Karpal sebagai perginya seorang peguam veteran yang hebat.

“Nama Karpal akan terus tercatat sebagai satu legenda dalam sejarah,” tulisnya.

Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, umat Islam perlu memikirkan sebab mengapa seseorang bukan Islam menolak sesuatu berkaitan Islam.


"Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukan semestinya dia membenci Islam. Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun atas nama akhlak Islam yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya," kata Mohd Asri.

Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor itu maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. - Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.