Kecewa dengan UiTM, perunding media bebas Uthaya Sankar SB turut membuat laporan polis.
PETALING JAYA: Perunding media bebas, Uthaya Sankar SB menyatakan bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) sepatutnya menganjurkan dialog antara agama dan bukannya seminar yang menghina agama lain.
“Saya kecewa apabila UiTM dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Kumpulan Media Karangkraf menganjurkan seminar seperti ini yang menggugat perpaduan.
“Sepatutnya dialog antara agama (inter-faith dialogue) dianjurkan; bukan seminar seperti ini yang ternyata berniat jahat dan menghancurkan keharmonian Bangsa Malaysia,” kata Uthaya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Beliau mengulas sedemikian sambil merujuk kepada seminar sehari yang diadakan di UiTM pada hari Selasa. Kebanyakan penceramah mualaf datang dari Indonesia.
Seorang penceramah memberikan 10 sebab mengapa orang Kristian wajar masuk Islam. Seorang penceramah lagi memberikan amaran kepada masyarakat Islam bahawa bilangan umat Kristian akan melebihi umat Islam menjelang tahun 2100.
Masyarakat Islam turut dilarang mengucapkan ucapan Selamat Hari Natal dan meraikan tahun baru.
Ada juga yang mendakwa bahawa paderi – paderi Kristian meyamar sebagai jurulatih bola sepak untuk menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam.
Seramai 12 orang pelajar Bumiputera bukan Islam turut dilaporkan memeluk agama Islam selepas menghadiri acara tersebut.
Ekoran dari perkembangan ini, Uthaya Sankar turut membuat laporan polis malam tadi agar penganjur dan penceramah seminar disiasat.
“Dalam laporan itu, saya meminta pihak berkuasa, khasnya polis, menyiasat penganjur dan penceramah seminar berkenaan serta mengambil tindakan tegas bagi membendung anasir-anasir yang cuba memecah-belahkan Bangsa Malaysia,” katanya.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.