Jalan raya bandaraya KK semakin sesak

Sunday, 4 May 2014

Kawasan perumahan juga tumbuh di sana-sini menyebabkan ruang bergerak semakin terhad penduduk yang semakin ramai. Ini diburukkan lagi dengan tiadanya sistem pengangkutan yang baik.


KOTA KINABALU: Disebabkan perancangan bandar yang lemah, ribuan orang yang masuk dan keluar bandaraya Kota Kinabalu setiap hari, mengeluh tidak selesa kerana kesesakan jalan yang semakin teruk.

Bangunan semakin banyak dibina. Ruang kosong di bandaraya yang sepatutnya boleh dijadikan taman mini atau ruang meletak kereta, diguna untuk membuka ‘gerai bergerak’ menjual pelbagai barangan seperti rokok dan makanan.

Ia bukan saja menyesakkan ruang tetapi turut menyakitkan mata memandang kerana penjual selalunya membuang sampah di merata tempat.

Kawasan perumahan juga tumbuh di sana-sini menyebabkan ruang bergerak semakin terhad penduduk yang semakin ramai. Ini diburukkan lagi dengan tiadanya sistem pengangkutan yang baik.

Pengerusi Persatuan Arkitek Malaysia cawangan Sabah, Victor Wong berkata, segala masalah ini disebabkan ‘perancangan lemah’ hingga memaksa ramai pemilik rumah membeli kereta untuk memudahkan pergerakan harian.

“Perancangan berdasarkan pada pemilikan kereta dan kebergantungan kepadanya sepatutnya tidak digalakkan. Pemilikan kereta ini patut dikaji. Dan kita galakkan mereka mengguna pengangkutan awam.

“Rakyat tidak patut dipaksa membeli kereta hasil daripada perancangan jalan yang lemah,” katanya di pelancaran pameran properti Ipex 2014, di sini. Bandaraya Kota Kinabalu mempunyai lebih 200,000 penduduk.

Beliau memberi contoh kawannya yang membeli sebuah apartmen di Telipok, kira-kira 10km dari pusat bandaraya yang mengadu susah bergerak kerana tiada pengangkutan awam disediakan.

Bagi mereka yang berduit, mereka tidak akan berfikir dua kali untuk membeli kereta untuk memudahkan pergerakan.

Bukan lagi satu jenaka apabila seorang pemandu mengambil masa lebih daripada 45 minit untuk sampai di rumah yang dulunya hanya mengambil masa 10 minit untuk tiba.

Jalan alternatif sepatutnya diadakan sekarang sebelum trafik di bandaraya ini menjadi semakin serius.

Menurut Wong, masalah sekarang berlaku kerana kurangnya pembangunan bersepadu dan sistem pengangkutan yang baik.

“Namun masalah ini boleh diselesaikan jika mengenal pasti tiga perkara iaitu tempat tinggal, tempat kerja/tempat selalu dituju dan jaraknya dalam jarak radius yang munasabah,” katanya.

Satu sistem boleh diadakan untuk mengurangkan jumlah kereta di jalan selepas tiga perkara itu dikaji.

Menurut Wong, pembangunan yang dirancang dengan baik walaupu terletak di lokasi yang jauh dari pusat bandaraya masih perlu disediakan dengan kemudahan dan keperluan dalam radius yang munasabah.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk menggabungkan pembangunan bercampur perumahan, komersial, kemudahan sukan dan rekreasi yang terletak dalam jarak pergerakan yang dekat yang ada khidmat pengangkutan yang konsisten.

Lama kelamaan, penduduk Sabah akan biasa menggunakan pengangkutan awam jika ia teratur dan mereka tidak lagi memerlukan kereta untuk masuk ke pusat bandaraya.

Bak kata Datuk Bandar Bogota, “negara maju bukannya tempat di mana si miskin memiliki kereta. Ia adalah di mana si kaya menggunakan pengangkutan awam.”

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.