Puterajaya sukar tunaikan tuntutan 20% royalti minyak

Friday, 9 May 2014

Negeri-negeri lain yang dipimpin Barisan Nasional juga pasti berkehendakan habuan yang lebih besar..

Ketika penggubal undang-undang Sarawak bersorak meluluskan usul memohon kerajaan persekutuan meningkatkan kadar royalti minyak, sambil menunjukkan sikap bersatu padu bagi kemakmuran negeri, warga Sarawak masih belum wajar meraikan kejayaan.

Pertama, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin tidak mengendahkan tuntutan yang sebegitu tinggi, dikala ia berkira-kira tentang pelbagai projek mega yang sedang dibangunkan. Bahkan, kekurangan hasil kerajaan bakal menyaksikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan terlaksana pada tahun hadapan.

Mungkin kerajaan persekutuan tidak mampu memulangkan kembali hasil kekayaan petroleum kepada negeri tersebut.

Di saat ini, kerajaan mungkin menangguhkan perkara tersebut, samada dengan memohon sedikit masa untuk dipertimbangkan atau mungkin menubuhkan jawatankuasa bagi menilai tuntutan yang dikemukakan. Menolaknya secara mentah-mentah bukan tindakan yang bijak.

Tetapi sekiranya habuan ini dijanjikan bagi perletakan jawatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku ketua menteri Sarawak sebelum ini, maka ia mungkin diluluskan Perdana Menteri.

Najib dan penasihatnya telah berulang-kali mengunjungi bekas ketua menteri itu, sebelum beliau akhirnya bersetuju berundur diri. Itupun selepas tekanan daripada pelbagai pihak berikutan dakwaan salahguna kuasa dan korupsi.

Taib yang hampir kebal telah menconteng arang ke muka Najib yang menjanjikan reformasi di dalam pentadbirannya. Maka, beliau harus melepaskan jawatan yang dipegangnya sekian lama.

Jadi mungkin satu perjanjian dimeterai? Jika begitu, tuntutan kadar royalti baru itu akan pasti diluluskan.

Tetapi, langkah tersebut akan membuka pekung Barisan Nasional yang mengamalkan sikap berat-sebelah kerana dilihat memenuhi permintaan Sarawak sedangkan tuntutan kerajaan negeri Kelantan dipandang sepi.

Tuntutan kerajaan PAS di Kelantan bagi menuntut royalti diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) malah turut dibawa ke mahkamah undang-undang.

Negeri-negeri lain yang dipimpin Barisan Nasional juga pasti berkehendakan habuan yang lebih besar, maka keadaan ini sudah tentu mahu dielakkan kerajaan persekutuan.

Tindakan meluluskan tuntutan Sarawak akan menjadi senjata buat kerajaan PAS Kelantan menghukum pentadbiran Najib sekiranya tuntutan negeri Pantai Timur Semenanjung itu tidak diendahkan.

Selasa lalu, DUN Sarawak meluluskan usul memohon kerajaan negeri menaikkan kadar royalti daripada 5% kepada 20%.

Usul dibawa Abdullah Saidol (BN-Semop) dan disokong Snowdan Lawan (Balai Ringin). Ia mendapat sokongan 68 ahli sidang dewan undangan negeri yang lain.

Usul serupa hampir dibawa Chong Chieng Jen (Kota Sentosa) daripada DAP tetapi Abdullah terlebih dahulu mencuri tumpuan, sambil berkata ia telah dirancang BN sejajar dengan hasrat Ketua Menteri baru Tan Sri Adenan Satem.

Usul tersebut didakwanya lebih menyeluruh dan merangkumi tuntutan agar geran pembangunan diberikan.

Di dalam sokongannya terhadap usul itu, Chong berharap kadar baru hasil royalti dan geran tersebut dapat digunakan dengan telus dan adil.

Beliau berkata, tidak kira siapa yang membawa usul tersebut selagi ianya diluluskan dan warga Sarawak dapat menikmati hasilnya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.