Perkasa, Pekida dan Isma tidak diterima di Sabah

Friday, 2 May 2014

“Jadi adalah wajib untuk ketua menteri dan setiausaha kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Imigresen menyenaraihitamkan Ibrahim, Pekida dan Isma menjejakkan kaki ke Borneo.”


KOTA KINABALU: Rakyat Sabah melahirkan kekecewaan terhadap seorang penyanyi tempatan Sabah iaitu Jimmy Palikat yang menyertai Umno dan Perkasa.

Jimmy yang popular lagu ‘Tanak Kampung’ dan berasal dari daerah Tambunan pada 28 April lalu telah menghantar borang untuk menjadi ahli Perkasa di Pejabat Biro Perkasa.

Bagaimanapun, penyertaaan Jimmy ke dalam Perkasa ternyata tidak disenangi oleh peminat-peminat setianya.

“Orang Sabah tidak sokong kemasukan Perkasa tetapi beliau pula yang bersemangat masuk Perkasa,” ujar Ewen Tii.

Asyiried Asrine pula berkata, “Perkasa menerima kemasukan Jimmy sebab mereka fikir peminat beliau akan sokong Perkasa tetapi mereka salah, sokongan jadi benci,”

Sementara itu, Jame Maradan menambah, “Kalau kerana kelansungan seni kenapa beliau masuk Perkasa, banyak persatuan lain yang memperjuangkan kepentingan artis,”

Menurut sumber, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dalam kenyataannya berkata Perkasa akan mendesak kerajaan untuk serius dan komited membantu menyelesaikan isu yang berkaitan dengan penggiat seni tanah air.

“Penggiat seni adalah proses yang membentuk bangsa negara ini, jadi bukan sahaja pembelaan malah ganjaran juga perlu setimpal” katanya dan mengulas bahawa Biro Kesenian dan Warisan Pribumi Perkasa diwujudkan sebagai medium untuk para penggiat seni ini mendapatkan hak mereka.

NGO buat laporan polis

Pada masa lain, tiga badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Presiden Perkasa itu dengan menyifatkan bekas ahli parlimen Pasir Mas itu sebagai ‘pembawa masalah’.

Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPIM), kelab sosial dan rekreasi Bundu Tuhan Ranau serta kelab sosial dan rekreasi Kampung Kaung Kota Belud membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Banda Karamunsing semalam.

Presiden BoPIM, Daniel John Jambun berkata mereka menggesa pihak berkuasa melarang Ibrahim dan ahli-ahli Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) serta Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) masuk ke negeri di bawah bayu itu.

“Kami mahu pihak berkuasa melarang Ibrahim memasuki negeri ini kerana kita tidak berminat dengan falsafahnya dan percaya ideologi beliau akan menyebabkan keretakan kaum di negeri ini.

“Beliau juga memecahbelahkan rakyat Sabah yang selama ini hidup dengan aman dan damai dan khuatir ahli politik dari semenanjung akan membawa polarisasi kaum ke Sabah dan Sarawak,

“Jadi adalah wajib untuk ketua menteri dan setiausaha kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Imigresen menyenarai-hitamkan Ibrahim, Pekida dan Isma menjejakkan kaki ke Borneo.” lanjut beliau.

Jika pihak berkuasa gagal menjalankan tanggungjawab seperti yang diharapkan rakyat Sabah, pihaknya tiada pilihan kecuali membawa kes itu ke mahkamah, tegas Daniel.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.