Setiap kali berlaku penculikan, tuduhan dipihak kerajaan pasti mengenai "orang dalam", orang kampung atau pihak-pihak lain yang boleh dikambing-hitamkan seperti pengusaha resort.. Mereka tidak akan menjawab soalan rakyat tentang kenapa penculik-penculik ini boleh bertutur bahasa Malaysia, tahu selok belok Sabah dan kenapa ada antara mereka pernah bekerja di sektor kerajaan di Sabah..
Dua insiden penculikan dalam tempoh kira-kira sebulan di pantai timur Sabah, menguatkan keyakinan penduduk setempat kejadian didalangi pendatang tanpa izin yang sudah lama menetap di negeri itu.
Rata-rata mereka yang ditemui Bernama hari ini berkata adalah sukar untuk 'orang luar' yang baru tiba di kawasan itu mengetahui laluan dan lokasi terpencil seperti yang berlaku di Pulau Baik awal pagi semalam.
"Oleh itu kerajaan perlu membuat operasi besar-besaran pada setiap masa agar pendatang asing yang berada di negeri ini dapat dikurangkan," kata Abdul Rahman Mohd Zaid, 66, anak jati Lahad Datu.
Katanya jenayah penculikan yang membelenggu kawasan pantai timur Sabah sejak sekian lama harus dikekang memandangkan isu itu mencerminkan tahap kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
"Kerajaan perlu menambah kekuatan aset anggota keselamatan terutamanya di kawasan laluan masuk di perairan negara bagi memastikan tiada jenayah rentas sempadan," katanya yang mendakwa kegiatan itu banyak didalangi warga asing yang bermastautin di Sabah.
Fatimah Buhari, 38, juga berkongsi pandangan serupa dan mahu pihak berkuasa tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan dokumen diri kepada individu yang mendakwa sudah lama menetap di negeri itu.
Dia juga mahu pihak berkuasa menyemak semula warga asing yang sudah memiliki dokumen diri.
"Kita tidak mahu tali barut penjenayah menetap di negeri ini," katanya.
Awal pagi semalam, sekumpulan lelaki bersenjata, dipercayai M16, menculik warga China Yang Zai Lin, 34, yang bekerja sebagai pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pekan Lahad Datu.
Menurut seorang pekerja di situ yang mahu dikenali sebagai Nus, 22, dia dimaklumkan penculik fasih berbahasa Melayu.
"Saya diberitahu oleh rakan yang berada di tempat kejadian bahawa penculik itu menggunakan bahasa Melayu," katanya.
Insiden penculikan semalam merupakan yang ketiga dalam tempoh tujuh bulan.
Pada 2 April lepas seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja wanita diculik oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata di resort Singamata, Semporna.
Wanita China yang juga seorang pelajar itu dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai manakala pekerja wanita warga Filipina berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi.
Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya pula diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna. - Bernama
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.