Lalim memajukan kawasan pelancongannya tanpa bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan..
KOTA BELUD: Sepuitis namanya, Pantai Rang Bulan di Kampung Buah Pandai di sini kian mendapat tempat di hati para pelancong dalam dan luar negara.Namun seputih pasirnya, dengan jujur pengusahanya mengakui bahawa pantai tersebut belum boleh diiktiraf sebagai pusat pelancongan.
Pengakuan Lalim Kandiyong, 48, agak mengejutkan kerana menurutnya, dalam usaha untuk memajukan kawasan pelancongannya tanpa bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan, beliau amat memerlukan kesilapan' dan bergantung penuh dengan keadaan itu.
Lalim menjelaskan bahawa hanya melalui kesilapan pengurusannya, maka para pelanggan akan menegur kualiti perkhidmatannya dan melalui cara itu, beliau dapat memperbaiki sistem yang diwujudkannya untuk keselesaan pengunjung.
"Setakat ini tiada, jadi saya meneruskan apa yang terfikir baik oleh saya dalam memberi kepuasan kepada mereka di samping perlahan-lahan menambah prasarana untuk pengunjung di kawasan ini," jelasnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai pantai tersebut, Lalim memberitahu bahawa ayahnya adalah seorang nelayan dari Pulau Mantanani, namun mengambil keputusan untuk membuka tanah seluas 5.66 hektar di Rang Bulan dan tinggal di situ bersama keluarga sejak 1971.
Lalim sendiri bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad di sini dan kemudian merantau ke Semenanjung untuk bekerja di beberapa buah syarikat gergasi seperti Sime Darby Engineering dan Petronas yang menyaksikan beliau memegang jawatan sebagai 'Blasting Painting' di pelantar minyak.
Melalui pengalaman mengelilingi seluruh Semenanjung seperti di Pulau Kapas, Terengganu dan mengunjungi Pantai Losari di Makassar, beliau benar-benar tergerak untuk memperkasakan sektor pelancongan di tanah milik keluarganya sendiri meskipun tanpa modal.
Sebagai contoh, Lalim menggunakan bahan-bahan binaan terpakai seperti papan dan zink yang diperolehinya daripada rakan-rakan untuk membina lima buah pondok kecil yang boleh digunakan sebagai tempat bernaung di Rang Bulan dengan kadar sederhana.
"Pantai ini belum boleh diiktiraf sebagai pusat pelancongan kerana kekurangan prasarana seperti bekalan air bersih dan pelancong yang datang hanya menggunakan telaga yang digunakan sejak 40 tahun lalu bagi membersih diri setelah mandi laut," katanya.
Atas permintaan ramai, Lalim terpaksa menyediakan perkhidmatan Bot Pisang, Bot Kayuh Kaki, mengelilingi Pulau Usukan dengan bot, karaoke dan restoran yang menyajikan makanan tempatan dan Coto Makassar.
"Saya sekarang dalam proses memagar pantai untuk menghalang obor-obor daripada masuk ke kawasan mandi para pengunjung. Saya menggunakan kayu belian dan jaring seluas kira-kira 38 meter persegi untuk tujuan tersebut," tutur lelaki bersemangat waja ini.
Menurutnya, semua pengunjung yang melakukan aktiviti air dimestikan memakai jaket keselamatan dan jika pengunjung ingin menunggang bot pisang, maka beliau sendiri yang mengendalikannya untuk memastikan keselamatan pengunjung benar-benar terjamin.
Ketika ditanya, bilakah pantai tersebut dinamakan sebagai Pantai Rang Bulan, kerana difahamkan Rang Bulan selalunya merujuk kepada bulan dan bersesuaian dengan pantai tersebut yang indah dan perlu dikomersialkan.
Sambil tersenyum, Lalim menerangkan: "Rang maksudnya dalam bahasa Bajau ialah surut, sementara bulan merujuk kepada bentuk pantai ini yang melengkung seperti bulan. Nama ini adalah nama yang digunakan sejak calet dahulu lagi."
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.