Pemulangan semula 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban akan menjejaskan imej dan prestij Jais berkenaan isu tersebut.
Persatuan Bible Malaysia (PBM) yakin Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih enggan memulangkan bible yang dirampas daripada premis mereka empat bulan lalu kerana ia akan menunjukkan pihak berkuasa agama itu terpaksa mengakui kesilapan mereka.
"Memulangkan kitab Bible membuktikan Jais salah apabila melakukan serbuan dan sitaan, termasuk menahan pegawai PBM, dan juga silap menterjemahkan undang-undang," kata Presiden PBM, Lee Min Choon, dalam entri terbaru dalam blognya.
Beliau berkata pemulangan semula 321 Bible berbahasa Melayu dan Iban akan menjejaskan imej dan prestij Jais berkenaan isu tersebut.
"Terlalu banyak kesalahan telah dilakukan. Oleh itu, mereka fikir lebih baik simpan dahulu Bible dan memberitahu umum bahawa mereka menunggu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk berkata sesuatu, dengan harapan agar orang ramai melupakan isu tersebut," katanya.
Pada 2 Januari, pegawai Jais dan anggota polis menyerbu pejabat persatuan tersebut di Damansara Kim, Petaling Jaya, dan merampas 321 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban.
Lee dan pengurus pejabat PBM, Sinclair Wong, ditahan dan dibawa ke balai polis. Mereka juga diminta untuk hadir di pejabat Jais beberapa hari selepas itu bagi merekodkan kenyataan.
Terdahulu dalam blognya, Lee menceritakan sesi bersama pegawai Jais yang menyoal siasat beliau selepas serbuan.
Lee berkata pertemuan bersama pegawai Jais pada 10 Januari ditemani Setiausaha Agung PBM, Simon Wong, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.
Beliau berkata seorang pegawai bernama Malik menyoal siasatnya.
"Saya ditanya mengenai latar belakang PBM, kedudukan saya dan adakah saya terlibat dengan operasi PBM. Saya memberitahu dia bahawa saya tidak terlibat dalam operasi yang diuruskan kakitangan. Saya datang pada mesyuarat lembaga tiga bulan sekali dan kakitangan akan melaporkan kepada saya tugas mereka," katanya.
Beliau juga berkata Malik bertanya kepadanya keperluan Bible berbahasa Melayu.
"Saya menerangkan fungsi untuk Bible dicetak dalam pelbagai bahasa bagi seluruh gereja di Malaysia. Kami mempunyai kitab berbahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, dialek Malaysia Timur dan Melayu. Saya memberitahu mereka terdapat dua juta Kristian di Malaysia dan 60% atau 1.2 juta yang berbahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan kita. Mereka mengunakan kitab itu yang diberikan oleh kami.
"Malik mempunyai Bible berbahasa Melayu di atas mejanya. Dia bertanya kepada saya adakah dia mempunyai hak untuk menyentuh dan memegang Bible. Saya berkata boleh tidak ada masalah. Dia mengambil Bible tersebut dan membuka helaian pertama dan bertanyakan siapakah penerbit bagi Bible tersebut."
Malik: Bilakah ia diterbitkan?
Lee: 1995. Ia tertulis pada laman pertama.
Malik: Adakah anda pengerusi?
Lee: Tidak, saya juga bukan ahli PBM.
Malik: Di mana Bible ini dicetak?
Lee: Indonesia, ia juga tertulis di laman pertama kitab.
Malik: Berapa kos bagi setiap cetakan salinan Bible?
Lee: Saya tidak tahu
Malik: Berapa harga kitab tersebut?
Lee: Saya tidak tahu.
Malik: RM25.
Lee: Oh, anda tahu mengenainya.
Lee berkata Malik kemudian menunjukkan sehelai kertas di dalam fail dan berkata, "Inilah resitnya".
"Salah seorang pegawai saya pergi ke kedai buku dan membeli Bible. Adakah anda tahu mengenai hal itu?" soal Malik.
"Saya tidak tahu," jawab Lee.
Lee berkata soal siasat mengenai Bible itu mengambil masa tidak lebih daripada 10 minit.
Jais melakukan serbuan mengikut Enakmen Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.
Enakmen yang diluluskan kerajaan negeri Selangor di bawah Barisan Nasional itu melarang masyarakat bukan Islam di Selangor menggunakan 35 perkataan Arab termasuk "Allah", "Nabi", "Injil" dan "Insya Allah".
Pada 15 April lalu, Lee mengumumkan PBM merancang untuk berpindah keluar dari Selangor ke Kuala Lumpur dan menunggu permohonan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Katanya, keputusan untuk berpindah adalah satu keperluan kerana Putrajaya menawarkan perlindungan bagi agama minoriti
Lee berkata Putrajaya menggariskan 10 resolusi bagi penyelesaian isu kalimah Allah dengan tidak mengganggu pengedaran kitab Bible.
Lee berkata beliau mendapat tahu melalui media kertas siasatan dihantar Jais ke Pejabat Peguam Negara pada hujung Januari atau awal Februari, tetapi empat bulan selepas itu, tiada tindakan diambil.
"Ia sama ada kita diputuskan bersalah atau tidak. Peguam Negara kita bukan bodoh. Beliau tidak memerlukan masa lebih tiga bulan untuk menyelesaikan kes yang mudah seperti ini," katanya.
Lee berkata Jais juga tidak mempunyai alasan untuk menyimpan Bible sekiranya tiada pendakwaan dilakukan.
"Sekiranya PBM didakwa, hanya satu sahaja salinan daripada Al-Kitab yang diperlukan di mahkamah. Mereka tidak memerlukan 321 bible sebagai bukti kes," katanya.
Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad, tidak dapat memberi kenyataan kerana bercuti.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.