Sabah Jadi Tumpuan Pemburu "Harta" Haram

Monday 21 April 2014

Bermula dari insiden penculikan yang menuntut jutaan ringgit wang tebusan sehinggalah kepada kes terbaru mengenai penyeludupan kima gergasi dan pembunuhan penyu.. Semuanya disebabkan oleh kelemahan kerajaan umno/BN..


Akhir-akhir ini Sabah telah menarik pelbagai ‘pemburu harta’ dari negara-negara di rantau Asia Pasifik, yang mencari apa sahaja harta yang mereka boleh perolehi.

Sekumpulan tujuh orang lelaki bersenjata dari selatan Filipina menculik seorang pelancong Cina dari Singamata Reef Resort di Semporna pada 2 April, dan telah menuntut wang tebusan sebanyak 500 juta peso (RM36.4 juta) bagi membebaskannya.

Tidak sampai 10 hari kemudiannya, polis marin menemui satu lagi jenis pemburu harta di luar pantai Sabah. Semasa menjalankan Ops Cantas Laut di perairan Pulau Mengalum, mereka menahan dan memeriksa sebuah bot nelayan pada 10 April.

Dalam bot itu, mereka menjumpai dan merampas kira-kira 20 tan kima gergasi, sumber marin yang dilindungi, yang dikutip secara tidak sah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM400,000 di pasaran. Setelah menjalankan pemeriksaan, polis marin mendapati bahawa kerang gergasi itu diperolehi daripada dasar laut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata polis telah menahan tekong dan lapan orang anak kapal, warga Vietnam yang berumur di antara 20 dan 40 tahun, yang berada di atas bot.

"Ini adalah tangkapan pertama seumpamanya, tetapi mereka mungkin telah menjalankan aktiviti ini untuk tempoh masa yang panjang," katanya kepada media pada 14 April.

Pihak berkuasa pada mulanya tidak pasti mengenai langkah seterusnya. Apabila kes itu dirujuk oleh pihak polis kepada Jabatan Perikanan, mereka diberitahu bahawa kerang ini diambil dari dasar laut, yang dianggap sebagai sebahagian daripada tanah, perkara itu perlu diuruskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur.

"Polis akan menyiasat syarikat kapal itu di sini, manakala sembilan warga Vietnam ini akan dirujuk kepada Jabatan Tanah dan Ukur untuk tindakan selanjutnya," tambah Hamza.

"Kima gergasi adalah spesies yang dilindungi. Ia tidak banyak terdapat di dunia. Saya percaya daripada 10 spesies kima gergasi, sembilan daripadanya terdapat di Sabah," kata Hamza, sambil menambah bahawa kima gergasi biasanya digunakan sebagai hiasan dan untuk tujuan kosmetik, manakala isinya boleh dimakan.

Mana-mana individu yang mahu memungut kima gergasi perlu mendapat kelulusan khas daripada pihak berkuasa, kata Hamza. Dalam kes ini, warga Vietnam ini telah didapati memungut kima gergasi tanpa permit yang sah.

Polis kini mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 168, Ordinan Tanah Sabah (Bab 68) atas dakwaan mengeluarkan dan mengambil khazanah laut tanpa kelulusan daripada kerajaan negeri. Jika sabit kesalahan, mereka yang didakwa akan dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Kima gergasi, ataupun nama saintifiknya Tridacna gigas, adalah kerang moluska dwi-injap hidup terbesar, dan merupakan salah satu spesis kerang paling terancam di dunia. Menurut saintis marin, kima gergasi ini hanya memiliki satu peluang untuk mencari habitat yang sesuai. Apabila ia melekat kepada terumbu karang, ia akan kekal di situ untuk sepanjang hayatnya.

Sementara itu, Sabah juga telah dilanda satu lagi bentuk kerugian harta laut. Bulan lepas, Dr James Alin, seorang pakar akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat penemuan mengejutkan 60 bangkai penyu di Pulau Tiga, di luar pantai barat Sabah.

James berkata, penduduk kampung telah memberitahu pihak berkuasa mengenai pemburuan yang dilakukan secara haram sejak bertahun-tahun tetapi ia dianggap sebagai khabar angin.

Beliau telah menerima maklumat dari pemilik perniagaan menangkap ikan di Kudat mengenai aktiviti-aktiviti pemburuan haram, bahawa penyu laut telah dibunuh untuk mendapatkan dagingnya yang kemudiannya dijual kepada kapal-kapal nelayan dari China dan Vietnam di sepanjang Selat Balabac.

Penyu laut dewasa hidup boleh dijual dengan nilai RM2,000 manakala harga penyu muda boleh mencecah RM1,300, katanya.

Penemuan ini juga telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelbagai badan bukan kerajaan, termasuk Persatuan Pemandu Pelancong Sabah, di mana presidennya Daniel Doughty berkata selepas melihat gambar-gambar bangkai penyu itu, beliau merasakan pulau itu menyerupai "medan pembunuhan".

"Kami tidak boleh membiarkan aktiviti ini berterusan. Sesuatu perlu dilakukan, dan salah satu langkah pertama adalah untuk menjadikannya taman laut, yang mana kami telah tunggu untuk sekurang-kurangnya 10 tahun," katanya.

Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, berkata bahawa pegawai Taman-Taman Sabah sedang menyiasat penemuan di Pulau Tiga ini, sebuah pulau yang terletak di bawah perancangan untuk Taman Laut Tun Mustapha.

Salah satu tarikan terbesar pelancong ke Sabah adalah aset semula jadi seperti pulau, kawasan menyelam, batu karang, pantai, hidupan liar dan lain-lain bentuk tarikan berasaskan alam semula jadi.

Apa-apa kemusnahan kepada aset-aset berharga menjadi ancaman kepada industri pelancongan yang berkembang pesat di Sabah.

Pulau Tiga yang sebelum ini agak tidak diketahui, menjadi terkenal di seluruh dunia pada tahun 2000, disebabkan rancangan televisyen popular Amerika, Survivor, menerusi rangkaian CBS.

Seramai 16 orang warga Amerika telah "terdampar" di Pulau Tiga, dan setiap langkah mereka telah difilemkan oleh kamera televisyen. Para peserta menghabiskan 39 hari di pulau itu dan rancangan tersebut dipecahkan kepada 13 episod satu jam, yang disiarkan setiap malam Rabu di saluran CBS.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.