Putrajaya tidak faham masalah pelajaran Sabah

Saturday, 19 April 2014

Semua masalah ini, membuktikan Kementerian Pendidikan kurang cekap, tidak prihatin dan sangat kurang memahami keadaan sebenar sekolah di negeri ini. Keputusan dibuat sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan buruk yang dihadapi para murid.


KOTA KINABALU: Pengurusan pelajaran di Sabah memerlukan reformasi drastik demi menaikkan mutu pendidikannya yang masih ketinggalan dan menjaga kebajikan guru-guru tempatan yang berasa seperti dianak tirikan.

Masalah ini tidak akan selesai selagi pengurusan pendidikan Sabah terus berpusat di Putrajaya yang tidak begitu memahami masalah unik yang dihadapi di negeri ini. Sarawak juga menghadapi masalah yang sama.

Walaupun wujud Jabatan Pendidikan Sabah untuk memantau sektor pendidikan di negeri ini, ia masih berada dibawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan di Putrajaya. Ini bermakna kebenaran untuk menutup satu lubang jalan di kawasan sekolah masih perlu mendapat kebenaran dari pusat sedangkan jika mahu efesien, isu semudah itu patut boleh diselesaikan terus di peringkat sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Api-api, Christina Liew menggesa Sabah dibenarkan menguruskan hal ehwal pendidikannya sendiri sementara Kementerian Pendidikan menyediakan dasar dan panduan.

“Sabah menanggung beban berat akibat masalah timbul dari segi dasar, perancangan dan pelaksanaan dari Putrajaya. Masalah yang dialami guru sandaran misalnya, tidak mendapat perhatian,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Menurut Liew, pemusatan pengurusan pendidikan di Putrajaya itu perlu ditamatkan jika mahu Sabah bergerak ke depan setanding dengan pencapaian sekolah di negeri-negeri lain di semenanjung.

Masalah utama yang dihadapi Sabah ialah kekurangan guru terlatih sehingga memaksanya menggunakan khidmat guru sandaran. Namun itupun masih belum mencukupi dan diburukkan lagi dengan persepsi bahawa guru sandaran tidak sehebat guru terlatih.

Isu guru sandaran

Kekurangan guru bertambah teruk kerana Kementerian Pendidikan sentiasa menukar guru-guru. Contohnya pada tahun 2011, kira-kira 700 hingga 1,000 guru ditukarkan dari Sabah setiap tahun di mana tempat mereka diganti dengan guru-guru yang kurang berpengalaman.

“Jangan hanya kerana memberi keutamaan kepada pendidikan di Semenanjung, kerajaan sanggup membiarkan Sabah dan Sarawak menanggung kemunduran penduduknya dalam bidang pendidikan.

“Kita tidak hairan tidak ada sekolah di Sabah dan Sarawak termasuk dalam senarai 20 sekolah terbaik di Malaysia.

“Diharap dengan adanya Timbalan Menteri Pendidikan dari Sabah, mutu pelajaran negeri ini akan meningkat,” kata Liew menambah kemudahan infrastruktur sekolah Sabah juga amat mendukacitakan.

Menurut Liew, awal tahun ini berita mendedahkan kira-kira 1,000 pelajar di Ranau tidak ada bilik darjah kerana bangunan yang dijanjikan sepatutnya siap Mac tahun ini, namun hakikatnya pembinaan bangunan itu belumpun bermula.

Pengarah Pendidikan Sabah sendiri katanya, sudah merayu agar tindakan politik yang tegas diambil menangani masalah bangunan sekolah tidak selamat diduduki, tiada penginapan guru dan masalah perparitan, namun ianya tidak diberi perhatian.

Liew berkata, Kementerian Pendidikan kurang memahami masalah pendidikan di Sabah dan sering membuat keputusan yang kurang membantu, malah lebih mengganggu kemajuan pendidikan negeri.

“Contohnya, pada tahun 2011, seramai 73 guru berkelayakan ijazah tidak diperbaharui kontrak hingga mengganggu pembelajaran murid-murid di tempat mereka mengajar.

“Pada tahun yang sama, seramai 578 guru terpaksa menunggu arahan dari kementerian selepas kontrak mereka ditamatkan pada 2010, walaupun negeri ini terdesak kerana kekurangan guru,” katanya.

Setahun kemudian, SK Inarat di Kinabatangan mendapat ‘kejutan’ apabila semua guru sandarannya diberhentikan tanpa notis menyebabkan semua murid di sekolah itu tidak dapat meneruskan persekolahan.

Putrajaya bersikap pilih kasih

Semua masalah ini kata Liew, membuktikan Kementerian Pendidikan kurang cekap, tidak prihatin dan sangat kurang memahami keadaan sebenar sekolah di negeri ini. Keputusan dibuat sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan buruk yang dihadapi para murid.

Bukan itu saja katanya, kementerian juga mengamalkan sikap pilih kasih ketika menguruskan guru. Isu elaun perumahan yang tidak sama bagi guru-guru dari Sabah dan Semenanjung sudah lama ditimbulkan tetapi tidak dihiraukan.

“Guru-guru di Sabah bukannya bising sebab guru dari semenanjung mendapat elaun lebih banyak tetapi mereka mempersoalkan dasar ‘berat sebelah’ kementerian dan mahu supaya mereka mendapat apa yang diperolehi guru dari semenanjung.

Sambil memberi contoh, guru-guru di Sabah dengan Gred DG29-32 menerima hanya RM180 elaun perumahan berbanding RM830 yang diterima guru dari semenanjung bagi gred yang sama. Perbezaanya hampir lima kali ganda.

Guru Sabah gred DG41 dan DG44 masing-masing menerima RM250 dan RM400 tetapi guru semenanjung diberi RM930. Guru DG48 di Sabah menerima hanya RM700 tetapi guru dari semenanjung untuk gred yang sama diberi sehingga RM1,130.

Perbezaan adalah ketara dan kesengsaraan kini amat dirasakan oleh guru-guru Sabah kerana kos hidup yang sangat tinggi di negeri ini berbanding di kebanyakan negeri di semenanjung.

Liew berkata, kerajaan BN perlu konsisten dengan polisi 1Malaysia iaitu tidak membezakan di antara kedua-dua tempat. Amalan yang membeza-bezakan ini hanya merugikan Sabah.

Dari segi pengambilan lepasan sekolah untuk memasuki profesian perguruan, Kesatuan Guru-guru Sarawak pernah menggesa agar 50 peratus guru-guru di Malaysia didatangkan dari Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan kekurangan guru di kedua-kedua negeri. Namun ianya tidak berlaku seperti yang disarankan.

Melihat kepada masalah ini dan demi meningkatkan prestasi sekolah-sekolah serta murid-muridnya, adalah logik jika pelaksanaan dan program pendidikan di sini diuruskan sendiri oleh orang Sabah

“Kita setuju kerajaan persekutuan boleh terus merumuskan dasar-dasar asas sebagai panduan menyeluruh tetapi kuasa dan kebebasan untuk merancang serta melaksana program harus diberi kepada negeri yang lebih arif kepada keperluan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Pejabat Pendidikan Sabah diwujudkan dibawah bidang kuasa Jabatan Ketua Menteri yang akan merancang semua aspek pendidikan negeri termasuk pembinaan infrastruktur, pengagihan guru dan penyediaan bajet.

Semua cadangan itu kemudian akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan peruntukan dan jika diluluskan ia akan disampaikan kepada kerajaan negeri untuk melaksana program pendidikannya sendiri.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.