Pembaziran berleluasa menurut laporan AG

Tuesday 8 April 2014

Mengapa seorang pegawai bekerja disebuah pembekal pinjaman pelajar memerlukan dua buah komputer dari majikannya? Ia sungguh membingungkan.. Mungkin salah satu komputer itu membolehkan mereka membuang masa dengan bermain Candy Crush dan Farmville?

 
Tiba masanya tahun ini apabila ketamakan, rasuah dan penyelewengan dana didedahkan melalui Laporan Tahunan Ketua Audit Negara (AG). Tidak menghairankan, laporan tersebut turut mengandungi cukup skandal kewangan untuk membuat kulit rakyat geliang-geliut ibarat cacing yang dilepaskan dari tin.

Salah satu isunya adalah berkaitan sebuah universiti latihan guru yang membelanjakan RM24,000 bagi menanggalkan sistem siaraya awam (PA) dari bilik mesyuarat berkapasiti antara 12 dan 16 orang.

Laporan itu mendedahkan bahawa sistem ini tidak diperlukan bagi bilik-bilik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tetapi perancangan yang tidak sempurna telah membawa kepada pemasangannya, dan berikutnya pembaziran apabila ia ditanggalkan.

Satu lagi yang disebut dalam laporan itu ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Ia didapati bertanggungjawab mengumpulkan lebih daripada 100 unit komputer dan komputer riba, mengakibatkan sewa lebih daripada RM100,000 terpaksa dibayar secara sia-sia.

Tahun demi tahun, kita dihujani dengan cerita mengenai pembaziran wang pembayar cukai dalam Laporan Ketua Audit Negara, tetapi apa hasilnya? Berapa ramai orang yang kita lihat, terutama yang berprofil tinggi, telah diheret ke mahkamah akibat pendedahan ini?

Akan ada satu atau dua dakwaan, tetapi ia akan berhenti di situ. Jika hukuman ini dapat menjadi penghalang, berapa ramai akan kekal berani membazirkan wang rakyat?

Kerajaan tidak berhenti-henti bersyarah mengenai ketelusan tetapi kita semua tahu yang ia hanya wujud di atas kertas. Kontrak diberikan melalui tender secara terus, dan bukannya tender terbuka. Hasilnya, kroni golongan yang berkuasa mendapat untung dengan kontrak yang terlalu mahal.

Dalam banyak kes, kroni dapat mengisi poket mereka dengan bayaran untuk kerja yang kurang bermutu. Beberapa bulan atau tahun kemudian, projek itu gagal, struktur runtuh dan sekali lagi, kroni yang lain mendapat kontrak untuk memperbaiki kerosakan. Dan ia berulang.

Ia adalah satu kitaran rasuah, ketamakan dan penyalahgunaan kuasa yang tidak berkesudahan. Akhirnya, rakyat yang menderita dalam bentuk cukai yang dinaikkan dan kenaikan harga barang-barang, kerana kerajaan cuba untuk "menampal lompongan" yang dicipta oleh perbelanjaan yang tidak perlu mereka sendiri.

Dalam kes PTPTN ini, komputer-komputer itu ditemui mengumpul habuk dalam bilik stor pejabat pembekal pinjaman pelajar itu di seluruh negara.

Kerugian itu telah ditanggung kerana PTPTN tidak menuruti perjanjian pajakan yang dibuat dengan pembekal komputer dan komputer riba itu, yang menyaksikan perkakas yang tidak digunakan dikembalikan kepada pembekal, sekali gus menjimatkan kos sewaan PTPTN sebanyak lebih kurang RM100,000.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa PTPTN telah menyediakan pegawai-pegawainya dengan komputer meja dan komputer riba masing-masing. Jika seorang pegawai hanya dibekalkan dengan sebuah komputer riba, ia akan menjimatkan RM1.4 juta dalam tempoh tiga tahun.

Ia menimbulkan persoalan mengapa seorang pegawai bekerja di sebuah pembekal pinjaman pelajar memerlukan dua buah komputer dari majikannya. Ia sungguh membingungkan. Mungkin salah satu komputer itu membolehkan mereka membuang masa dengan bermain Candy Crush dan Farmville?

Ini hanya beberapa pembaziran berjuta-juta yang "diketahui", disebabkan perancangan yang kurang teliti dan pengendalian yang tidak betul oleh jabatan-jabatan, agensi dan institusi kerajaan di seluruh negara.

Ia mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan, melainkan jika anda baru turun kapal. Dan percayalah, apabila laporan seterusnya dibentangkan di Parlimen, ia hanya dilakukan bagi memenuhi jadual.

The Ant Daily

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.