MH370: tompok minyak bukan daripada pesawat

Friday 18 April 2014

Tompokan minyak dikesan Ahad lepas oleh kapal pertahanan Australia Ocean Shield di selatan Lautan Hindi, kawasan pencarian pesawat Malaysia yang hilang, bukan minyak pesawat atau cecair hidraulik.

Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), yang menyelia operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370, berkata perkara itu disahkan berdasarkan analisis awal dilakukan pada sampel diambil di kawasan pencarian yang tiba di Perth pagi ini.

Pada Isnin, Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata dalam sidang media bahawa tompokan minyak itu ditemui kira-kira 5,500m dalam kawasan isyarat 'ping' dikesan sebelum itu oleh alat pengesan pinger ditunda yang digunakan Ocean Shield. Dua liter tompokan minyak diambil sebagai sampel.

Dalam perkembangan lain, JACC berkata hasil penilaian oleh Phoenix International dengan bantuan Bluefin Robotics mendapati wujud risiko kecil tetapi pada tahap boleh diterima bagi penggunaan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV) dikenali Bluefin-21, pada kedalaman melebihi 4,500 meter.

"Peluasan parameter operasi ini membolehkan Bluefin-21 melakukan pencarian di dasar laut pada had yang dijangkakan di kawasan pencarian ketika ini," menurut agensi itu dalam kenyataan.

Phoenix International yang berpangkalan di Amerika Syarikat adalah pemilik dan pengeluar Bluefin-21 dan Bluefin Robotics.

JACC turut menafikan laporan beberapa syarikat media sebelum ini bahawa Bluefin-21 akan mengambil masa antara enam minggu dan dua bulan untuk mengimbas seluruh kawasan pencarian, menegaskan kenyataan itu tidak betul.

Bluefin-21, alat pengesan dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akustik dan peta 3D untuk mengimbas kawasan dasar laut, digerakkan tiga kali sehari bagi pencarian dalam air sejak pertama kali digunakan pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, data dicerap daripada dua misi sebelum ini tidak menemui apa-apa setakat ini.Ia dikerahkan dengan harapan dapat mengesan serpihan pesawat itu di dasar laut, susulan tiada lagi isyarat dikesan oleh alat pengesan pinger ditunda sejak 8 April.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Selepas analisis dibuat terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.