Kadar gaji tidak selari inflasi di Sabah

Monday 14 April 2014

Kerajaan perlu meningkatkan gaji minimum pada tahap RM1,200 yang meliputi seluruh negeri, dan bukan pendekatan berbeza RM800 untuk Sabah, Sarawak dan RM900 untuk Semenanjung..

GST, Najib Razak, Musa Aman, Sabah

KOTA KINABALU: Perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST – goods and services tax) yang akan berkuat kuasa pada April 1, 2015 tahun depan, dikatakan tidak memberikan faedah kepada penduduk tempatan terutamanya di kawasan pedalaman seperti Sabah.

“Ia akan menyebabkan peningkatan dalam kos kehidupan,” menurut setiausaha agung Kesatuan Perkerja Bank Sabah (SBEU – Sabah Bank Employees Union), Catherine Jikuan

Kekurangan penjelasan dari kerajaan mengenai GST juga menyebabkan timbul tanda tanya dan kekeliruan di kalangan pengguna akan jenis barangan dan perkhidmatan yang dikenakan atau dikecualikan daripada cukai tersebut.

“Ia akan menyebabkan harga barangan harian meningkat, seperti ikan dan ayam,” katanya yang melihat tiada badan kerajaan yang akan dapat mengawal dan memantau harga kenaikan barangan yang keterlaluan yang menggunakan GST sebagai alasan.

Menurutnya, pendekatan gaji minimum RM800 di Sabah tidak akan terpakai lagi selepas perlaksanaan GST dan ini perlu diambil kira dalam rundingan dan penilaian semula gaji minimum yang dikatakan akan berlangsung sekitar bulan September dan Oktober, akhir tahun ini.

Jikuan yang juga selaku setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC – Malaysia Trades Union Congress) menjelaskan bahawa satu memorandum telah dihantar kepada kerajaan berhubungan dengan isu gaji minimum pada awal tahun ini.

MTUC, menurutnya berharap kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum pada tahap RM1,200 yang meliputi seluruh negeri, dan bukan pendekatan berbeza RM800 untuk Sabah, Sarawak dan RM900 untuk Semenanjung yang dikatakan “tidak adil”.

Beliau juga mempersoalkan akan tindakan kerajaan negeri sepi akan isu kenaikan gaji minimum yang melihat wakil parlimen (MP) Kalabakan, Ghapur Salleh membuat kenyataan pada persidangan parlimen 18 Mac di dewan, yang mendakwa bahawa gaji minimum tidak boleh dilaksanakan di Sabah.

“Kenapa mereka tidak mengambil berat dan berdiam diri?” soal Jikuan yang menganggap bahawa wakil rakyat yang dipilih sepatutnya berpihak kepada pengundi kawasannya yang sebahagian besar hidup di bawah garis kemiskinan. 

Kebimbangan perlaksanaan cukai GST bukan hanya terletak pada organisasi sosial dan bukan kerajaan tetapi juga menimbulkan kebimbangan kepada pakar ekonomi tempatan dan pemimpin politik tempatan.

Pensyarah dan penyelidik ekonomi Universiti Malaysia Sabah, James Alin melihat penguatkuasaan GST akan menyebabkan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, pencukaian GST meliputi seluruh lapisan masyarakat tidak kira miskin atau kaya yang dibahaskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya dengan majoriti mudah, tanpa melakukan proses perundingan awam.

“Perlaksanaan GST oleh negara maju tidak semestinya akan membawa negara Malaysia menjadi sebuah negara maju,” katanya yang melihat perlaksanaan cukai tersebut tidak sepatutnya berlaku semasa negara sedang mengalami kadar inflasi yang tinggi.

Pendapatan tidak selari inflasi

Pengerusi Parti Reformasi Negeri (STAR – State Reform Party) Sabah, Jeffrey Kitingan juga menolak perlaksanaan cukai GST walaupun ia mempunyai kebaikan dan keburukan.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di Sabah adalah miskin dan ini akan memberi kesan kepada kebanyakan yang terpaksa menanggung kos kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti petroleum, gula, elektrik yang hanya baru meningkat.

Selain itu, kadar pendapatan yang tidak meningkat atau tidak selari dengan inflasi walaupun dengan perlaksanaan gaji minimum sebanyak RM800.

Kitingan yang juga Ahli dewan undangan negeri (DUN) Bingkor juga melihat perlaksanaan GST akan menjejaskan hak kutipan cukai dan jumlah kutipan pendapatan cukai bagi negeri Sabah.

Undang undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014 yang hangat diperkatakan di persidangan parlimen telah diluluskan di dewan rakyat pada April 7 yang lalu dengan sebanyak 119 wakil menyokong dan 81 membantah.

Undang undang baru yang mengandungi 197 fasal dan 19 bahagian dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan bertujuan untuk menggantikan Akta Cukai Jualan (1972) dan Akta Cukai Perkhidmatan (1975).

Akta baru tersebut pertama kali diperkenalkan ketika pembentangan Belanjawan 2014 di parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang mengumumkan perlaksanaan GST pada kadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang berjumlah 16%.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.