Culik: Dalang Mungkin Dikalangan Anggota Keselamatan

Saturday 5 April 2014

 
Penulis menyokong dan mengalu-alukan langkah pasukan keselamatan mengadakan operasi besar-besaran untuk memburu pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah di pulau peranginan di Zon Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSZONE). Penulis tidak menolak kemungkinan bahawa dalang penculikan adalah terdiri daripada orang dalam atau pekerja-pekerja di pusat peranginan tersebut. Namun dalam hal ini, penulis menuntut supaya pasukan keselamatan melaksanakan operasi MENYELURUH, iaitu bukan sahaja menyerbu pusat-pusat peranginan, malah menyiasat setiap latarbelakang anggota keselamatan yang dipertanggungjawabkan menjaga perairan/sempadan Semporna.

Pekerja asing yang berniat untuk melakukan jenayah mungkin memerlukan masa yang lama untuk memahami pergerakan atau masa rondaan pasukan keselamatan, malah mungkin mengambil masa yang lama untuk mempelajari selok-belok pusat peranginan yang mana pasukan keselamatan kita telah memasang tali rentangan dan sebagainya. Namun tidak mustahil juga jika mereka dapat memahami dan mempelajarinya dengan cepat.. bergantung pada keadaan atau mungkin mereka telah lama berada/bekerja di pusat peranginan tersebut. Namun sekiranya wujud dalang dikalangan anggota keselamatan, tidak mustahil penculik ini mampu menjadi mahir sekelip-mata mengenai selok-belok dan perangkap pasukan keselamatan tanpa memerlukan masa yang lama untuk melakukan penculikan kedua selepas empat bulan berlalu (tragedi Pulau Pom Pom).

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib dalam laporan sebelum ini, penculikan di Singamata Reef Resort, Semporna didalangi oleh orang dalam yang MAHIR dengan selok-belok pusat peranginan tersebut. Malah menurut beliau, di sekeliling pusat peranginan itu mempunyai satu sistem halangan di mana tali rentangan dan sebagainya telah diletakkan agar bot-bot tidak mudah masuk. Jesteru, hanya orang yang BENAR-BENAR MAHIR sahaja yang tahu, yang boleh masuk dengan mengikuti alur-alur bagi mengelakkan enjin bot tersangkut pada tali-tali tersebut.

Menjawab soalan wartawan tentang bagaimana penculik boleh melakukan jenayah itu disebalik kekerapan rondaan pasukan keselamatan, Hamza berkata para penculik, selain mahir dengan sistem tali rentangan, mereka turut kelihatan masak mengenai MASA RONDAAN pihak keselamatan. Malah beliau berkata sebelum kejadian tersebut, pihak keselamatan ada melakukan rondaan. Penculikan hanya berlaku selepas mereka beredar dari situ.
 
Berdasarkan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah ini, penulis mengesyaki bahawa dalang mungkin juga dikalangan anggota keselamatan. Dakwaan ini tidak mustahil sekiranya anda mengikuti perkembangan pencerobohan pengganas Sulu awal tahun lepas. Pencerobohan itu sepatutnya boleh digagalkan awal-awal lagi sekiranya Koperal Detektif Hassan Ali Basari (telah dijatuhkan hukuman) tidak menyembunyikan maklumat mengenai rancangan pengganas Sulu. Malah beliau sendiri memberikan maklumat kepada pengganas mengenai pergerakan pasukan keselamatan.

Jesteru, besarlah harapan penulis jika Pesuruhjaya Polis Sabah dapat melancarkan operasi besar-besaran bukan sahaja terhadap pengusaha pusat peranginan, malah juga pasukan keselamatan yang bertanggungjawab menjaga perairan Semporna. Insiden culik ini sudah dua kali berlaku dalam masa kurang dari setahun. Tindakan terhadap pengusaha pusat peranginan sepatutnya telah diambil sejak insiden yang pertama.. Oleh itu, memandangkan ia masih berlaku, wajarlah jika kali ini, pasukan keselamatan juga disiasat latarbelakang mereka..

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.