Bagaimana Sabah Boleh Hilang Kekayaannya

Saturday 19 April 2014

Kerajaan Persekutuan mengambil HAK Milik Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak dengan menggunakan keadaan Darurat yang diisytiharkan pada 15hb Mei 1969 disebabkan oleh rusuhan pada 13 Mei.


Kertas maklumat untuk Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah

Pengenalan

Ada kah ahli-ahli Yang Berhormat menyedari bahawa HAK dan kawalan ke atas Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak diambil dari Sabah dan Sarawak pada tahun 1969? Kemudian pada 24 November 2011 HAK dan kawalan ini secara tidak sengaja pulangkan semula kepada Sabah dan Sarawak?

Bagi setiap hari yang kita berlengah dan tidak membuat sebarang keputusan mengenai isu ini, kita membazirkan berjuta-juta ringgit yang boleh digunakan secara produktif dalam usaha-usaha pembangunan negeri terutama dalam memerangi kemiskinan di Sabah.

Jika semua Yang Berhormat belum sedar atau masih tidak sedar bahawa Sabah kehilangan HAK dan Kawalan ke atas Wilayah lautnya sendiri teruskan membaca untuk makluman lebih lanjut. Sekiranya Yang Berhormat tidak mengambil berat terhadap perkara ini kami ucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk melihat risalah ini dan berbincang dengan kami.

Enam bulan selepas pengumuman Perdana Menteri bahawa pengisytiharan Darurat dimansuhkan pada 24 November 2011 di bawah Perkara 150 (7) Perlembagaan Malaysia, pemansuhan ini berkuatkuasa. Oleh itu, pada 24 Mei 2012, HAK dan Kawalan Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak dipulangkan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak secara tidak sengaja dan oleh kerana Kerajaan Persekutuan bukan lagi pemilik Perairan Wilayah ini.

Bagaimana kita boleh hilang HAK dan Kawalan ini?

Kerajaan Persekutuan mengambil HAK Milik Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak dengan menggunakan keadaan Darurat yang diisytiharkan pada 15hb Mei 1969 disebabkan oleh rusuhan pada 13 Mei. Darurat telah diisytiharkan menggunakan Perkara 150 Perlembagaan Malaysia, Parlimen digantung dan hanya bersidang semula pada 20 Februari 1971. Antara 1969 dan 1971 banyak Ordinan dan warta telah dikeluarkan. Di antara undang undang yang dibentuk semasa Darurat ini, terdapat 3 undang-undang yang memindahkan Hak Milik Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan tanpa disedari atau mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak pada masa itu:

  1. Emergency (Essential Powers) Ordinance No.7 1969 [P.U.(A) 307A/1969] di luluskan pada 2nd August 1969 dan berkuatkuasa pada 10th August 1969;
  2. The Continental Shelf Act 1966;
  3. The Petroleum Mining Act 1966

Ordinan No.7 1969 menghadkan semua perairan wilayah negeri kepada 3 batu nautika termasuk perairan Sabah dan Sarawak. Dua Akta 1966 telah diluluskan pada tahun tersebut, namun kedua dua Akta ini tidak boleh digunakan diperairan Sabah dan Sarawak tanpa persetujuan Kerajaan Negeri masing-masing. Masalah ini dapat di atasi selepas Darurat diisytiharkan dan 2 Akta ini berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak melalui warta PU (A) 467/1969 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No.10 tahun 1969 bertarikh 8 November, 1969.

Darurat yang diisytiharkan melalui Perkara 150 Perlembagaan Malaysia memberi kuasa mutlak kepada Kabinet Persekutuan. Undang-undang yang telah diwujudkan apabila negara di dalam keadaan Darurat tidak boleh dicabar tidak sah atau ia bercanggah dengan perlembagaan. Undang-undang ini boleh memintas perlindungan dan kaveat yang telah di berikan oleh Perlembagaan Malaysia itu sendiri, Perjanjian Malaysia 1963 dan Lapuran Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Bagaimana kita mendapat kembali HAK Negeri Sabah dan Sarawak?

Hanya selepas pengisytiharan darurat telah diungkaikan (mansuhkan) di bawah Perkara 150 (7) dan selepas enam bulan telah luput, Ordinan, undang-undang, dan semua warta yang di buat didalam keadaan Darurat dimansuhkan.

Oleh itu, segala-galanya kembali kepada normal (tiada Darurat), Sabah dan Sarawak terus menikmati perlindungan Perlembagaan Malaysia, Perlindungan dan kaveat diletakkan oleh Perjanjian Malaysia dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Ini bermakna bahawa Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak telah dipulangkan ke tangan Kerajaan Negeri masing-masing. Sekali lagi Perairan Wilayah ini ditadbir dan diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing berdasarkan Ordinan Tanah masing-masing dan North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954. The Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak meliputi keseluruhan Pelantar Benua yang berdekatan.

Setelah mengetahui fakta-fakta ini, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap Yang Berhormat TIDAK hanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah tetapi yang paling penting sebagai rakyat Malaysia di Sabah untuk membangkitkan isu-isu HAK Sabah dan HAK Perairan Wilayah Sabah di Dewan yang mulia ini.

Kerajaan Persekutuan mahu mengambil kembali HAK Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak sekali lagi

Menyedari kesilapan mereka Kerajaan Persekutuan sekali lagi mahu mengambil alih HAK Perairan Wilayah Sabah dan Sarawak. Pada 18 April 2012 sebelum luput tempoh enam bulan Darurat dimansuhkan, Kerajaan Persekutuan telah membentangkan satu Rang Undang-Undang Wilayah Laut Malaysia 2012. Tujuan utama Rang Undang-undang adalah untuk mematuhi dan memenuhi keperluan UNCLOS, walau bagaimanapun isi dan kandungan rang undang undang ini lebih bertujuan untuk mengambil semula Pemilikan HAK daripada Perairan Wilayah negeri negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Rang Undang-undang telah diluluskan tanpa seorang pun MP dari Sabah dan Sarawak yang membahaskannya. Oleh kerana Malaysia bukan lagi dalam Darurat, Akta yang baru Akta 750 tidak boleh dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak tanpa kelulusan Dewan Undangan Negeri masing masing. Ini kerana Akta 750 melibatkan HAK Tanah, dan Tanah adalah bidang kuasa mutlak Negeri Sabah dan Sarawak. Di Malaya, Tanah adalah di bawah bidang kuasa Kanun Tanah Negara yang dikuasai oleh Kerajaan Persekutuan. Sabah dan Sarawak dilindungi oleh Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Ordinan Tanah Sabah dan Sarawak dan North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 & 1958.

Akta 750 oleh itu tidak boleh dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengambil alih Pemilikan HAK Perairan Wilayah daripada Sabah dan Sarawak dengan sewenang wenangnya. Memenuhi keperluan UNCLOS adalah untuk menentukan sempadan maritim Antarabangsa Malaysia. Ini tiada kaitan langsung dengan mengambil alih HAK Pemilikan Tanah-Tanah dalam sempadan tersebut.

Apa yang patut kita lakukan seterusnya?

Kita semua perlu berwaspada, tegas dan vokal supaya Hak-Hak dan Kawalan ke atas Perairan Wilayah tidak terhakis. Sudah menjadi tanggungjawab setiap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang diberi kepercayaan oleh rakyat Malaysia di Sabah untuk mewakili mereka menjadi Ahli di Dewan yang mulia ini. Rakyat Malaysia di Sabah ingin tahu, apakah langkah seterusnya yang akan di ambil oleh Kerajaan Negeri Sabah mengenai isu ini? Sekiranya kita berlengah, maka masa terbuang dan berjuta-juta ringgit hilang semasa kita masih ragu-ragu atas tindakan apa seterusnya yang wajib kita tentukan.

Sekian Terima kasih

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.