Alahai kerajaan minoriti 46%

Tuesday 15 April 2014

Cakaplah apa sahaja, keluarkanlah apa pun kenyataan, polisi kerajaan, method, pengorganisasian, perancangan, daripada kerajaan 46% minoriti ini pasti dijadikan bahan lawak di kedai kopi mahupun warung, di mana- mana sahaja.


Tiada apa yang pelik bin ajaib apabila tinjauan yang dijalankan Merdeka Center menunjukkan 54% daripada 1,029 responden adalah rakyat Malaysia tidak percaya kepada kerajaan sendiri iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) menyampaikan maklumat yang telus dan mempunyai banyak lagi maklumat tidak didedahkan berhubung tragedi MH370. Manakala 26% menyatakan jujur dan 20% refleksi kepada tidak pasti.

Maklum tahu kerajaan minoriti 46% ini tidak diyakini ketelusannya oleh 52% rakyat Malaysia. Apa jua perkara yang keluar daripada mulut kerajaan BN sudah tidak dipercayai majoriti rakyat jelata. Angka 1,029 responden adalah tinjauan rambang, bukannya tunjauan terpilih.

Tinjauan rambang yang dilakukan di kawasan bandar dan separa bandar juga di kawasan luar bandar - yang celik ilmu dan maklumat dengan dunia yang tiada sempadan iaitu sudah mencapai jalur lebar - menampakkan hasil yang memukul sampai lunyai kerajaan minoriti 46% BN.

Cakaplah apa sahaja, keluarkanlah apa pun kenyataan, polisi kerajaan, method, pengorganisasian, perancangan, daripada kerajaan 46% minoriti ini pasti dijadikan bahan lawak di kedai kopi mahupun warung, di mana- mana sahaja.

Daripada kenyataan awal tragedi MH370 daripada menteri bernama Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkontradiksi dengan ketua - ketua penguatkuasa dan jabatan yang bertanggungjawab, tidak konsisten. Malah memburukkan lagi keadaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang media keduanya menyatakan MH370 berakhir di Lautan Hindi, apa yang Najib definisikan berkenaan berakhir di Lautan Hindi pun saya tidak faham. Kenyataan diplomatik yang tinggi, ayat tergantung.

Kalau benar MH370 terhempas mana bangkai pesawat? Serpihan pesawat sehingga ke hari ini tidak dijumpai. Andai terhempas pelampung kecemasan berkuantiti 300 lebih pasti sudah muncul di permukaan laut jika benar burung besi tersebut terhempas di situ. Kita rakyat Malaysia tidak terlalu bodoh untuk mencerna maklumat yang disampaikan kerajaan minoriti 46% ini. Cuma kita dibodohkan melalui media kawalan kerajaan minoriti 46% - Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo.

Cerita yang lebih menyeramkan pada tempoh hari apabila United Kingdom menghantar kapal selam HMS Tireless. Tergerak untuk saya bertanya apa sudah jadi dengan kapal selam Scorpene kita? Benarlah kata orang Scorpene Malaysia sudah barai, tidak dapat menyelam. Kapal selam berdarah tidak berkat. Memandangkan penyelenggaraan kapal selam Scorpene yang pembeliannya mendapat komisen RM500 juta oleh syarikat kroni memakan RM1 bilion setahun amatlah besar, ia kerugian maha besar.

Adakah kita masih percaya daripada mulut busuk kerajaan 46% minoriti ini kapal selam Scorpene hanya berkapasiti untuk berperang sahaja? Tidak sesuai untuk misi mencari dan menyelamat (SAR). HMS Tireless - kapal selam UK menjalankan misi yang sama. Kalau dihitung perbandingan kapal selam Scorpene lebih canggih dan mahal daripada HMS Tireless. Lebih canggih dan advance refleksi kepada lebih maju dan lebih berkemampuan.

Malang menimpa, Scorpene tidak digunakan pada saaat genting dan memerlukan sememangnya memalukan. Dalam pada itu tempoh hari, ahli Parlimen Pakatan Rakyat dipinggirkan daripada mengetahui maklumat awal dalam mesyuarat berkaitan dengan tragedi MH370 ini seolah- olah mereka bukan warganegara Malaysia, umpama ini bukan negara mereka, macam bukan tanah tumpah darah mereka. Setelah didesak barulah kerajaan minoriti 46% ini buka mulut. Itupun bukan melalui Najib. Lagi menyedihkan Hishammuddin lari ke Hawaii pada tarikh yang ditetapkan untuk memberi penerangan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Dalam perkembangan lain, menurut ejen pencari kerja atas talian, Job Street- graduan baru bergelut dengan kos hidup yang tinggi. Dengan gaji graduan baru berkuantiti RM2,500 apalah sangat jika dibangdingkan dengan kenaikan harga barang, harga petrol.

Pada tahun depan, GST sudah mula menghentam rakyat Malaysia. Daripada segi teori ekonomi saya tidak menentang GST. Secara praktikal saya melawan GST atas dasar sosio-ekonomi rakyat Malaysia yang masih rendah. Memang benar GST dikecualikan terhadap barangan asas kepada pengguna akhir tetapi tidak kepada pelanggan produk dan perkhidmatan. Pengguna akhir ini siapa? Kita.

Pelanggan produk dan perkhidmatan termasuk pengilang, pekedai, peruncit, pembekal dikenakan GST. Teori supply chain management menyokong hujah ini. Adalah mustahil syarikat dan organisasi yang besar menterjemahkan kenaikan kos operasi ini kepada tanggungjawab social koprat (CSR) melainkan ia ditekankan kepada setiap rantaian perniagaan, yang nyata teruk kena tempiasnya adalah pengguna akhir. Apa mungin pelanggan produk dan perkhidmatan menanggung segala kos? Tidak.

Pada era Tun Abdullah Badawi meneraju kerajaan, pada 2007 - 2008 ditarik subsidi petrol dan wang subsidi tersebut menurut hujah menteri bertanggungjawab akan digunakan untuk membaik pulih sistem pengangkutan awam seperti bas. Sehingga kini perkhidmatan bas awam masih di takuk lama. Melalui GST kerajaan memperoleh pendapatan RM33 billion setahun, jumlah yang banyak. Ingin saya tekankan, kerajaan walaupun tidak dilaksanakan GST tetap memperoleh pendapatan RM200 bilion ringgit setahun melalui industri minyak sawit, pelaburan dalam dan luar negara, melalui GLC, syarikat gergasi Petronas, percukaian langsung dan tidak langsung.

Masalah kita bukan pendapatan, tetapi terlebih belanja. Lebih parah ditambah dengan keborosan, ketirisan, rasuah yang diamalkan kerajaan minoriti 46% ini. Sehingga kerajaan kekeringan dana untuk menjana pendapatan lain, dengan hutang negara RM526 bilion pada masa ini daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Belum dicampur dengan faedah hutang dalam setahun memakan berbilion ringgit. Paras hutang negara daripada KDNK yang ditetapkan undang-undang adalah 55%. Sekarang mencacah 54%, tidak mustahil jika sedikit masa lagi Najib membawa usul ke Parlimen untuk menetapkan paras hutang baharu negara daripada KDNK dinaikkan iaitu 60%- 69%. Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.