3,384 Warga Asing Di Semporna Dan Sandakan

Thursday 17 April 2014

Kerajaan belum membuat keputusan rasmi berhubung tindakan susulan terhadap 3,384 orang penduduk bukan warganegara..

Rumah atas air, Semporna

KOTA KINABALU: Kerajaan belum membuat keputusan rasmi berhubung tindakan susulan terhadap 3,384 orang penduduk bukan warganegara yang didapati hasil pelaksanaan bancian di Semporna dan Sandakan.

Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Teo Chee Kang berkata bancian berperingkat oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) itu mendapati 815 ketua rumah bukan warganegara di Semporna manakala Sandakan melibatkan 2,569 ketua rumah bukan warganegara.

Bagaimanapun, katanya, bagi penduduk warganegara di perkampungan air di daerah Semporna, kerajaan melalui Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara pada 17 Okt 2013 memutuskan untuk melaksanakan penempatan semula perkampungan air Simunul melibatkan perpindahan penduduk ke 832 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Bubul Lama.

Menjawab soalan Datuk Au Kam Wah (BN-Elopura) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini, Teo berkata kerajaan juga berusaha untuk membina sebanyak 539 unit PPR dengan infrastruktur asas terpilih di kawasan DUN Bugaya.

Beliau berkata menerusi Mesyuarat Khas Cadangan Penempatan Semula bersama Ketua Setiausaha Negara, keputusan diambil untuk mengenakan sewa sebanyak RM124 kepada penduduk yang dipindahkan ke PPR.

Teo berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung perpindahan penduduk yang terlibat di Sandakan terutama melibatkan penduduk warganegara, namun perancangan bersepadu diambil bagi merancang penempatan semula penduduk perkampungan air.

Beliau berkata antara perancangan termasuk mengenal pasti kawasan bagi tujuan penempatan semula dan penempatan mereka di projek perumahan yang dibangunkan Majlis Perbandaran Sandakan serta syarikat swasta.

"Perbincangan lanjut perlu diadakan dengan Jabatan Perumahan Negara untuk membolehkan jabatan ini mengambil alih projek ini mengikut kaedah yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan 11 2007," katanya.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan kementeriannya, Teo berkata kerjasama strategik antara semua agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan hendaklah dieratkan bagi memastikan keadaan keselamatan khususnya di pantai timur Sabah.

Beliau berkata Esscom akan sentiasa berusaha ke arah mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan untuk menjamin kedaulatan negara.

Merujuk insiden penculikan dua warga asing di Singamata Adventure Reef Resort pada awal April ini, Teo berkata sebanyak 83 buah pulau terdapat di Semporna daripada 362 pulau di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Katanya daripada jumlah itu terdapat lima pusat peranginan di pulau-pulau tersebut di Semporna iaitu di Pulau Mabul, Kapalai, Singamata (Pulau Bum-Bum), Pom-Pom dan Mataking.

Kesemua pulau tersebut mempunyai pos kawalan kecuali Pulau Singamata kerana kedudukan pusat peranginan itu terletak tidak jauh dari pekan Semporna, namun kini anggota polis Marin ditempatkan secara tetap di resort tersebut bagi meningkatkan kawalan keselamatan, katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.