Pengambilan guru dikalangan graduan tempatan Sabah

Saturday 5 April 2014

TENOM: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik kenyataan Datuk Masidi Manjun Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berhubung pengambilan guru tempatan baru di negeri ini pada masa akan datang.

Ia merupakan langkah tepat kerana dapat mengurangkan masalah pertukaran dan juga lain lain kos yang melibatkan kewangan. Selain itu, KGKS mengharapkan agar lebih ramai graduan rakyat Sabah diberi keutamaan untuk menjadi guru tahun ini bagi memenuhi Institut Pendidikan Guru (IPG) diSabah, seterusnya mengharapkan agar langkah sedemikian perlulah disegerakan.

Lagi pun, memang sudah tiba masanya bagi rakyat Sabah berkhidmat dinegeri kelahiran mereka sendiri dan yakin sistem seumpama itu mampu mencapai kemajuan jika dilaksanakan kerana mereka mempunyai semangat patriotisme terhadap negeri mereka sendiri, kata Presidennya Hussin Basir (gambar) pada Khamis.

Hussin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Masidi yang juga merupakan menteri bertanggung jawab bagi pendidikan di Sabah semasa merasmikan Seminar Pelan Pembangunan Pendidikan Sabah di Kompleks Pentadbiran Persekutuan pada Rabu yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip.

Pada Rabu, Masidi dipetik sebagai berkata bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar agihan kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri harus dibuat dengan segera jika ianya belum dilaksanakan untuk mengelakkan kelewatan dalam melaksanakan projek pembangunan pendidikan.

Kelewatan pengagihan kuasa

Hussin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Bersama Kesatuan/Persatuan Guru Sabah dan Sarawak mengakui bahawa kelewatan pengagihan kuasa sudah tentu akan menyebabkan kegagalan Pelan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 khususnya di Sabah dan Sarawak.

Sebagai contoh, pekerja harian sambilan dalam Program GTP 2.0 sehingga hari ini belum dilantik atau disambung semula ke jawatan itu, sedangkan khidmat mereka amat diperlukan untuk mengurangkan beban tugas guru, tegasnya.

Hussin berkata, malahan penyelarasan elaun pedalaman berdasarkan lokasi belum lagi dapat diselaraskan sehingga ke hari ini terutamanya sekolah yang amat memerlukan seperti di Sekolah Kebangsaan Kolorok dalam daerah Tenom.

“Sebenarnya, kita tidak harus disalah tafsirkan apabila kita berkata bahawa pengambilan guru baru daripada graduan tempatan Sabah bukan bermakna kita mewujudkan jurang perbezaan antara Sabah dan Semenanjung, sebaliknya kita mengambilkira banyak perkara terutamanya kos elaun perumahan dan penyesuaian diri kepada persekitaran baru,” tegasnya.

Dalam pada itu, KGKS mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr Jame kerana setakat 1 April 2014 genaplah perkhidmatan beliau selama 333 hari dengan kejayaannya melonjakkan peningkatan peperiksaan UPSR,PMR, SPM dan STPM.

FMT Borneo Plus

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.