Pairin kata kawalan ESSCOM longgar

Monday 7 April 2014

 
Pihak berkuasa perlu siasat secara mendalam motif penculikan itu supaya tindakan susulan dapat dilakukan

KOTA KINABALU: Kemungkinan berlaku kelonggaran Kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menyebabkan ia dibolosi penjenayah, berikutan insiden penculikan yang sudah dua kali berlaku selepas ESSCOM ditubuhkan, kata Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Oleh itu, ia perlu diperketat dan dipertingkatkan lagi bagi menjamin keselamatan negara, terutama di kawasan Pantai Timur Sabah,” kata Timbalan Ketua Menteri itu ketika menyampaikan bantuan wang bencana banjir RM500 setiap isi rumah kepada 300 penerima Daerah Keningau di Dewan Masyarakat Keningau, pada Sabtu.

Menurutnya, kawalan keselamatan di kawasan itu perlu diambil perhatian serius kerana ia terdedah kepada kegiatan pencerobohan dan penculikan oleh pihak yang tidak menghormati perundangan negara ini dan perundangan antarabangsa.

Kegiatan melanun dan mernculik sering berlaku di kawasan itu dan ia bukan saja menyalahi undang-undang di negara ini tetapi juga undang-undang antarabangsa, tegasnya.

“Justeru, kita menggesa ESSCOM menggandakan lagi usaha mengawal keselamatan di kawasan ini terutama di pusat-pusat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong luar negara,” katanya.

Beliau mengulas insiden penculikan seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Filipina di sebuah resort atas air Singgahmata Adventures Reef and Resort di Pulau Bum-Bum dekat Semporna, kira-kira jam 10.30 malam pada Rabu.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Ahli Parlimen Keningau berkata, Polis dan ESSCOM perlu mengambil langkah-langkah yang lebih drastik bagi mengawal kejadian tidak diingini yang sering berlaku di perairan Pantai Timur di negeri ini.

Katanya, insiden penculikan yang berlaku pada malam Rabu itu adalah serius kerana berlaku pada saat-saat negara dan negara lain di dunia mencari pesawat MH370 yang hilang tiga minggu yang lalu.

“Tambahan lagi banyak pihak yang membuat spekulasi berkaitan kehilangan pesawat itu,” katanya dan meminta agar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara mendalam motif penculikan itu supaya tindakan susulan dapat dilakukan.

Katanya, sebagai bekas Pendakwa Raya pada masa dahulu, beliau berpendapat penculikan itu perlu disiasat lebih mendalam kerana membabitkan perundangan negara dan antarabangsa yang boleh menjejaskan hubungan negara dengan negara lain.

“Selain itu ia juga akan menjejaskan pembangunan dan pendapatan sektor pelancongan di Sabah,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Alfred Angin, Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Rodzi Md. Saad, Pegawai Daerah Keningau Haji Yusof Osman dan pemimpin masyarakat di kawasan ini. – AM

Borneo Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.