Penculikan: Zahid dan Shahidan harus letak jawatan

Thursday 8 May 2014

Bidangkuasa dan peranan Esscom wajar dirombak semula, manakala dua orang menteri iaitu Zahid Hamidi dan Shahidan Kassim perlu letak jawatan..


PETALING JAYA: Ekoran satu lagi insiden penculikan di Sabah semalam, Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Ahmad Anwar Asyraf menggesa dua menteri untuk bersara kerana kegagalan menjaga keselamatan negara.

Menurut Ahmad Anwar, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim harus meletakkan jawatan setelah berlakunya dua kes penculikan dalam tempoh sebulan.

“Sebagai satu nilai kebertanggungtawaban, bersaralah Zahid Hamidi dan Shahidan Kassim. Jangan kerana ketidakmampuan anda dalam mengawal kementerian, maka keselamatan pintu sempadan luar dan dalam negara akan dikorbankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, Ahmad Anwar turut mengkritik keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) menjaga perairan Sabah walaupun jutaan ringgit telah diperuntukkan untuk mengawal 10 kawasan pantai timur Sabah yang meliputi 1400 kilometer.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya untuk ESSCOM dirombak semula bidangkuasa dan peranannya supaya ia mencapai matlamat penubuhannya daripada berterusan ‘menghalalkan’ pembaziran.

Alasan faktor geografi Sabah tidak seharusnya terus dijadikan alasan sebagai punca insiden penculikan mudah berlaku.

“Perairan dan muka bumi Sabah adalah merupakan khazanah yang paling berharga kepada sektor pelancongan kita. Kerajaan terus gagal dalam memastikan keselamatan kawasan tumpuan pelancong di perairan pantai timur Sabah.

“Sementara Shahidan Kassim masih lagi diulit mimpi indah akan keupayaan ESSCOM walaupun telah berlaku dua insiden dalam tempoh sebulan,” tegasnya.

Ahmad Anwar turut menempelak Ahmad Zahid yang disifatkannya lebih memberikan tumpuan kepada aktiviti keganasan di Syria berbanding menjaga keselematan negara.

“Zahid Hamidi begitu megah sekali bila bercerita mengikut skrip Islamfobia tajaan Amerika Syarikat. Penahanan beberapa rakyat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) (Sosma) kononnya mereka ini sedang ingin melakukan aktiviti keganasan di Syria. Tetapi, hakikatnya Zahid Hamidi dan Kementerian Dalam Negeri gagal dalam menjaga keselamatan dalam negara kita,” tambah Ahmad Anwar.

Tegasnya, sekiranya agensi risikan negara boleh memintas maklumat dan risikan mengenai usaha beberapa orang rakyat kita yang ingin “berjihad” di Syria seperti yang diwar-war itu, mengapa agensi-agensi risikan ini kelihatan lemah dalam memintas maklumat terhadap serangan-serangan kepada keselamatan dalam negara kita sendiri.

“Adakah usaha untuk memastikan kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah itu lebih penting daripada memastikan keselamatan dalam Negara? Mengapa aset-aset risikan tidak digunakan dengan cekap bagi memastikan ancaman-ancaman sebegini dapat kita patahkan sebelum mereka masuk dan menculik orang?,” soalnya.

Menurut Ahmad Anwar, masalah yang dihadapi negara ialah urus tadbir dan perlaksanaan oleh kerajaan, bukannya dari segi dasar.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.