Jangan mengharap pujian jika karut-marut yang dilakukan

Sunday 18 May 2014

Selagi Perdana Menteri dan kerajaan banyak melakukan perkara yang tidak menggembirakan rakyat, selagi itulah kritikan, malah cacian akan diterimanya.

Hari Jumaat lalu, dalam kunjungannya memeriahkan sambutan Hari Pekerja TNB, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertahankan kenaikan tarif letrik yang dipersetujui oleh kerajaan sebagai langkah untuk melindungi syarikat kerajaan itu daripada kerugian.

Walaupun kenaikan tarif letrik ini telah berlaku sejak Januari 2014 yang lalu, tindakan Perdana Menteri menyebut kembali mengenainya menyebabkan beliau diserang sekali lagi di media sosial dan internet. Kenaikan itu segera dikaitkan dengan berita keuntungan sebelum cukai yang diperolehi oleh TNB pada tahun kewangan 2013 yang berjumlah lebih RM4 billion.

Pengguna-pengguna laman sosial segera mengecam dan bertanya kepada Datuk Seri Najib, apakah belum cukup keuntungan sebanyak itu sehingga tarif letrik perlu dinaikkan?

Selain itu, penglibatan pembekal tenaga bebas kepada TNB yang merupakan kroni kerajaan turut dikaitkan dengan kenaikan itu di mana kerajaan dilihat lebih cenderung melindungi mereka berbanding menjaga kepentingan kepentingan rakyat bawahan.

Dalam masa yang sama, kunjungan Perdana Menteri ke TNB juga disambut dengan poster besar yang antaranya berbunyi "Selamat Datang Hero Kami" dan "Kehadiran PM Memberi Cahaya". Lantaran itu, pelbagai kata-kata kecaman, serangan dan sindiran telah dilontarkan oleh pengguna laman sosial terhadap Perdana Menteri serta ucapannya yang mewajarkan kenaikan tarif letrik itu.

Dengan beban hidup rakyat yang terus meningkat, tindakan Perdana Menteri mengulang sebut mengenai kenaikan tarif letrik ketika rakyat sudah melupakannya, jelas suatu tindakan tidak bijak. Hujah yang digunakan untuk mewajarkan kenaikan itu sebagaimana yang disebut pula iaitu untuk melindungi daripada kerugian dan kerana ia syarikat kerajaan, turut tidak masuk akal.

Secara mudahnya, apabila Perdana Menteri melakukan perkara yang tidak bijak, tak masuk akal dan karut-marut, tentulah cacian dan kejian yang bakal diterimanya. Tidak mungkin pujian pula yang datang daripadanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri melalui peguamnya telah menghantar notis saman kepada sebuah portal berita ekoran penyiaran dua artikel yang mengumpulkan pendangan pembaca ekoran isu pertukaran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang menimbulkan kekecohan baru-baru ini.

Dalam notis saman itu, Datuk Seri Najib dan UMNO menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada portal berita tersebut dalam tempoh 48 jam, penarikan balik artikel berkenaan dan menyediakan akujanji tidak mengulangi lagi penyiaran artikel seumpamanya di masa depan. Ia adalah ekoran Perdana Menteri nampaknya cukup terganggu dan tidak senang dengan komen-komen pembaca mengenai kemelut politik di Terengganu yang melibatkan dirinya itu.

Sebagaimana kemelut politik di Terengganu yang melibatkan pertukaran Menteri Besar telah menimbulkan pelbagai kritikan dan tafsiran daripada rakyat, sama ada mengenai punca bagaimana ia berlaku dan cara penyelesaiannya, rakyat secara umumnya tentulah berhak meluahkan pandangan dan hujah masing-masing berdasarkan apa yang berlaku dan penilaian mereka terhadapnya.

Mengancam tindakan saman itu samalah ertinya untuk menyekat rakyat daripada terus meluahkan pandangan dan kritikan. Kalau pun portal berita itu tidak mengumpulkan pandangan pembaca mengenai isu politik di Terengganu itu dalam bentuk artikel, pandangan mereka itu masih juga boleh dibaca oleh orangramai kerana hampir semua portal memang menyediakan ruang untuk pembaca meluahkan pandangan dan kritikan mereka sebagai dasar keterbukaan yang sudah menjadi kelaziman sekarang ini.

Terlihat bahawa notis saman kepada portal berita itu adalah langkah duluan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat. Apakah selepas ini blog, laman sosial, pembaca dan rakyat biasa pula yang akan dihantar notis saman kerana meluahkan kritikan atau komen yang tidak disenangi oleh Perdana Menteri?

Selain tindakan saman ini memperlihatkan Perdana Menteri bukan lagi pemimpin yang terbuka dan sedia dikritik, ia juga memperlihatkan kegagalan seluruh petugas di Pejabat Perdana Menteri untuk menjawab dan menjelaskan sesuatu isu yang berlaku itu. Lebih parah lagi, ia juga memperlihatkan kegagalan fungsi media rasmi milik kerajaan dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya di sebalik mempunyai ratusan kakitangan dan bajet juta-jutaan setiap tahun.

Namun apa yang lebih penting ialah Datuk Seri Najib sendiri selaku Perdana Menteri haruslah berhenti melakukan perkara karut-marut dalam urusan sehariannya. Bukan saja dalam isu Terengganu dan kenaikan tarif letrik yang menperlihatkan banyak perkara karut dan tidak masuk akal yang secara langsung mendedahkan kepada kritikan, serangan, cacian dan sindirian, bahkan ia telah berlaku lama sebelum ini seperti dalam isu kangkung, lembu NFC, kenaikan harga barang, GST dan sebagainya.

Selagi Perdana Menteri dan kerajaan banyak melakukan perkara yang tidak menggembirakan rakyat, selagi itulah kritikan, malah cacian akan diterimanya. Menghantar notis saman tidak akan memperbaiki keadaan, bahkan akan menjadi bahan persendaan yang berterusan.

Janganlah mengharapkan pujian jika Perdana Menteri dan kerajaan tidak sedia untuk memperbaiki diri mereka terlebih dahulu.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.