Tapak lot simpanan perumahan bumiputera yang disediakan ini sewajarnya dikembalikan kepada pemilik yang asal dan bukan memberikannya kepada mereka yang tidak berhak.
SANDAKAN: Satu laporan akan dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pemimpin masyarakat yang berpengaruh di daerah ini berikutan dakwaan kononnya membenarkan orang-orang memiliki identiti meragukan untuk menduduki tapak lot simpanan perumahan bumiputera Kampung Sinar Baru, Batu 12, dekat sini.
Ia akan dikemukakan seorang pesara polis bantuan berikutan tindakan pemimpin masyarakat terbabit dikatakan membenar dengan mengeluarkan satu permit yang menyebabkan tapak lot simpanan untuk masyarakat peribumi diceroboh sekali gus didiami oleh mereka yang tidak berhak.
Esran Manjah memberitahu New Sabah Times kelmarin tindakan mengeluarkan permit terhadap masyarakat bukan peribumi sebenarnya bertentangan dengan prinsip yang tidak sepatutnya berlaku ketika peribumi benar-benar memerlukan tapak kediaman untuk masa hadapan.
Menurutnya, Kampung Sinar Baru diwartakan sebagai kediaman rizab peribumi semasa era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 4 Februari 1988 dan kononnya telah ditandatangani Ketua Menteri Sabah yang memerintah ketika itu.
Beliau berkata, rizab berkenaan adalah satu hadiah daripada kerajaan PBS kepada penduduk-penduduk peribumi di daerah Sandakan tetapi sehingga ke hari ini ia masih diduduki orang lain.
Katanya, lebih malang lagi apabila pemimpin masyarakat terbabit memberikan permit menduduki kepada individu tertentu yang menyebabkan penempatan pribumi seluas 210 ekar ini dicerobohi serta tidak dapat didiami sehingga sekarang.
“Kami juga tidak boleh masuk ke Kampung Sinar Baru untuk mengambil hasil tanaman kerana dihalang oleh orang-orang tertentu sementara semua hasil tanaman yang ada mereka ambil.
“Saya ada membuat laporan kepada pihak berkuasa berwajib bila mana hasil tanaman kami diambil tetapi tiada tindakan pula,” dakwanya.
Esran, 58, yang kini menetap di Taman Poh Hing, Batu Sapi berharap agar pihak kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan di Kampung Sinar Baru yang telah pun dikhaskan kepada masyarakat peribumi sejak tahun 1988 lagi.
Tegasnya, tapak lot simpanan perumahan bumiputera yang disediakan ini sewajarnya dikembalikan kepada pemilik yang asal dan bukan memberikannya kepada mereka yang tidak berhak.
Dia sangat kesal apabila masalah sebegini boleh berlaku sedangkan pentingnya tanggungjawab menjaga hak-hak bumiputera di Sabah agar tidak dirampas seperti yang terjadi di perkampungan berkenaan menyaksikan orang-orang identitinya seperti meragukan mendapat keistimewaan untuk menduduki.
Lantaran itu, ujarnya, buat masa ini sedang mengambil beberapa langkah dengan Pejabat Hasil Bumi untuk mendapatkan kelulusan menduduki Kampung Sinar Baru seperti yang disebut dalam Ordinan Tanah Cap 68 (6) Seksyen 78.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.