UiTM perlu jelaskan paderi, rahib palsu, kata sarjana

Monday 19 May 2014

Apa objektif sebenar penganjur (UiTM) sehingga terdesak mengupah penceramah palsu dari Indonesia untuk melaga-lagakan kaum di Malaysia?

Penganjur seminar kontroversi Kristianisasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mesti menjelaskan mengapa mereka menjemput penceramah palsu bagi “menyerang” agama lain, kata para sarjana hari ini.

Mereka menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap penganjur kerana mengundang penceramah meragukan bagi mewujudkan hubungan tegang antara agama di Malaysia.

“Amat menjengkelkan mereka menganjurkan seminar tanpa menjemput pihak lain (pakar Kristian) bagi memastikan sebuah perdebatan yang sihat,” kata Ahli Parlimen PAS Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).

“Tetapi sekarang kita dapati Sidang Biskop Indonesia menafikan dua penceramah itu adalah paderi atau rahib. Jadi apakah objektif sebenar penganjur?"

"Mereka mesti menjelaskan mengapa 'penceramah' sebegini dijemput ke seminar itu kerana mereka mungkin mempunyai maklumat yang tidak dimiliki Indonesia. Jika mereka berdiam diri, saya menyifatkan tujuan mereka tidak jelas atau tidak mencapai matlamat," katanya.

Setiausaha Eksekutif Sidang Biskop Indonesia Edy Purwanto hari ini memaklumkan tiada maklumat penceramah bernama Insan L S Mokoginta yang mengaku bekas paderi Katolik sebelum memeluk Islam pada 1976.

Mokoginta berucap dengan tajuk “Ancaman Kristianisasi” di seminar itu mendakwa "setiap pengikut Jesus perlu memeluk Islam jika tidak dianggap menderhaka”.

Semakan ke atas Irena Handono, seorang lagi penceramah di majlis itu yang mendakwa bekas rahib Katolik juga tidak benar malah dia gagal menamatkan pengajian.

Antara yang turut dicurigai dalam seminar itu adalah Prof Dr Menehim Ali yang dikhabarkan Pakar Kristologi Universiti Bandung seperti yang tertera di buku atur cara program.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.