"Hak Asasi Manusia tidak 'anti mana-mana agama' ataupun 'pro agama atau ideologi tertentu' tetapi berasaskan kepada prinsip-prinsip asas dan nilai-nilai yang boleh diterima di semua negara, tradisi, agama dan budaya."
Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (ProHam) bimbang Malaysia dipulau masyarakat global jika Putrajaya meneruskan serangan ke atas hak asasi manusia.
ProHam membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa umat Islam berdepan satu ancaman baru iaitu "humanrightism" atau "hak asasi manusia melampau".
"Kita tidak dapat mengenepikan hak asasi manusia seolah-olah ia adalah 'ism' baru yang mengancam teras dan kewujudan masyarakat Malaysia.
"Dengan menyerang hak asasi manusia, Malaysia berhadapan risiko diasingkan daripada masyarakat global," kata Pengerusi ProHam, Datuk Kuthubul Zaman (gambar) dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Denison Jayasooria dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Malah, ProHam menyifatkan kenyataan Najib tersebut didorong oleh kepentingan politik.
"Ia seolah-olah ucapan yang didorong oleh kepentingan politik dan bukan urus tadbir yang baik serta demokrasi," kata Proham.
ProHam juga menggesa Najib supaya menjelaskan maksudnya ke atas kenyataan tersebut semasa menghadiri Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur Selasa lalu.
"ProHam menyeru perdana menteri memberikan penjelasan berkenaan pandangan ini kerana rujukan ini menimbulkan kebimbangan terhadap komitmen Putrajaya untuk memupuk hak asasi manusia di kalangan masyarakat Malaysia masa kini."
Menurut ProHam, hak asasi manusia bukan semata-mata menjaga kepentingan pihak tertentu sebaliknya ia adil kepada semua.
"Hak Asasi Manusia tidak 'anti mana-mana agama' ataupun 'pro agama atau ideologi tertentu' tetapi berasaskan kepada prinsip-prinsip asas dan nilai-nilai yang boleh diterima di semua negara, tradisi, agama dan budaya."
Selain itu, Malaysia juga merupakan negara kepada beberapa konvensyen hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia juga turut memainkan peranan aktif dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Malaysia menggunakan prinsip-prinsip hak asasi manusia untuk menyokong keadilan di Afrika Selatan, Palestin dan minoriti Islam lain di Selatan Thailand, Myanmar dan Filipina.
Selain itu, Malaysia juga memainkan peranan yang aktif di peringkat Asean dalam hak asasi manusia.
Negara-negara majoriti Islam melalui OIC mengeluarkan Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dan menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia OIC.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.