Penduduk Kota Kinabalu berdepan kehilangan pantai Tanjung Aru

Tuesday 20 May 2014

Pembangunan projek mega TAED yang bernilai RM7.1 bilion ini dikatakan akan dapat mengubah kawasan pantai Tanjung Aru setaraf dengan pantai Gold Coast di Australia dan Florida Coast di Amerika Selatan..

KOTA KINABALU: Penduduk Kota Kinabalu menghadapi kemungkinan kehilangan beriadah di pantai Tanjung Aru dengan pengenalan projek pembangunan pusat peranginan bertaraf antarabangsa.

Kebimbangan ini terbangkit dengan pengetahuan umum bahawa pantai Tanjung Aru telah menjadi kawasan zon pusat peranginan dan hotel, ketika pameran Perundingan Awam Pelan Deraf Perancangan Bandar 2020, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berlangsung pada 8 Mei – 22 Mei di pejabat Bandaraya Kota Kinabalu.

Selain itu, zon tersebut telah dilanjutkan ke kawasan laut di persisiran pantai yang membawa kepada aktiviti penebusan laut yang besar dan ini telah menyebabkan kebimbangan di kalangan aktivist alam sekitar dan juga orang awam akan kesan kepada alam sekitar.

Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Lanash Thanda terkejut dan kecewa dengan pengenalan zon pusat peranginan dan hotel di persisiran pantai dalam pelan bandaraya dan melihat orang ramai akan hilang kawasan beriadah awam mereka untuk pembinaan hotel dan pusat peranginan mewah.

“Kami terkejut setelah melihat pelan bandaraya baru DBKK untuk pantai Tanjung Aru, yang menunjukkan tiga kawasan zon baru yang berada di kawasan laut, yang meninggalkan kawasan yang kecil bagi orang awam untuk menikmati kawasan pantai”, katanya yang melihat ia sesuatu yang tidak dapat diterima.

Beliau juga berharap pihak DBKK akan dapat melanjutkan pameran perundingan awam tersebut bagi membolehkan orang awam peluang masa untuk mengamati pelan dan membuat bantahan.

Orang awam boleh membuat bantahan terhadap pelan deraf bandaraya dengan membeli borang bantahan yang berharga RM1.00 di pejabat DBKK seperti yang termaksub dalam Ordinan Perancangan Bandar dan Desa, seksyen 9 dan 13.

Pengamatan di laman Facebook melihat kebanyakan orang ramai tidak bersetuju dengan perancangan pembangunan yang dipercayai akan menyekat kemasukan orang awam ke persisiran pantai tersebut setelah siap yang dikatakan hanya khas untuk tetamu dan penginap hotel.

Mary, (bukan nama sebenar), memberi contoh sebuah pusat peranginan di pantai karambunai yang menyekat kemasukan orang awam ke kawasan berhadapan pantai kawasan peranginan mereka.

Beliau mendakwa pihak pengurusan tidak sepatutnya melarang orang awam daripada melawat kawasan pantai tersebut kerana ia adalah kawasan awam.

Namum, pihak pengurusan tidak menghiraukan akan perkara tersebut dan masih melarang orang awam daripada masuk melawat kerana dikatakan takut akan aduan dari tetamu mereka.

Pembangunan Tanjung Aru Eco Development (TAED) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pada sambutan hari Malaysia yg ke 50 tahun lalu, mendapat reaksi berbeza daripada penduduk tempatan terutamanya.

Kebimbangan ini masih berbangkit walaupun ketua menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman telah mengatakan bahawa pantai Tanjung Aru tetap akan kekal sebagai kawasan orang awam.

Penduduk tempatan, pada amnya risau akan perubahan ke atas pantai yang bersejarah ini, yang mendapat perhatian daripada golongan diRaja British yang melawat tapak tersebut pada tahun 60-an dan 70-an yang menjurus kepada penamaan satu taman beriadah yand dikenali sebagai Taman Putera Philip.

Pengabaian taman Putera Philip dan sekitar persisiran pantai Tanjung Aru dilihat dijadikan sebagai alasan pembangunan projek mega TAED yang dikatakan akan dapat mengubah kawasan pantai ini setaraf dengan pantai Gold Coast di Australia dan Florida Coast di Amerika Selatan.

Projek mega TAED yang bernilai RM7.1 billion diuruskan oleh Victor Paul, ketua pengarah bagi pihak kerajaan negeri yang sebelum ini telah menyumbangkan satu kawasan taman di Tanjung Aru yang dikenali sebagai Taman Perdana yang berfungsi sebagai pusat senaman dan riadah bagi penduduk di Kota Kinabalu.

Namun, dikatakan taman tersebut akan ditukar semula sebagai kawasan perniagaan yang akan digunakan sebagai pusat perniagaan setelah projek TAED siap kelak.

Pantai Tanjung Aru yang juga terkenal dengan keindahan permandangan matahari terbenamnya dikalangan penduduk tempatan dan luar negara, menjadi pusat pengemar fotografi bergambar yang tidak jemu-jemu akan keindahannya.

Keindahan pantai Tanjung Aru juga diringi dengan keindahan pokok aru yang tumbuh di persisiran pantai yang kini dikenali sebagai Tanjung Aru, menurut seorang penduduk yang telah lama menetap kawasan tersebut, tetapi enggan dikenali

Beliau berharap, usaha dilakukan untuk melindungi kawasan Tanjung Aru yang beliau kenali sejak kecil dimana sering mandi manda kerana rumahnya yang berdekatan dengan pantai dalam penempatan pegawai kerajaan yang tidak wujud lagi.

Perancangan pembangunan di Tanjung Aru bukan pertama kali berlaku apabila diberikan kepada sebuah syarikat Paramaha Enterprise Sdn Bhd dan akhirnya diambil semula oleh kerajaan negeri setelah tindakan mahkamah untuk bayaran ganti rugi RM589 juta telah diketepikan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.