Bodohnya Sam Mannan.. Seramai 1.7 juta rakyat asing di Sabah tidak dianggap sebagai ancaman, sebaliknya orang asal Sabah pula dituduh sebagai ancaman dan penceroboh di atas tanah sendiri..
KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) Datuk Sam Mannan (gambar kanan) digesa meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Sabah selepas menuduh Orang Asal negeri ini sebagai ancaman dan penceroboh hutan kerana mengamalkan cara bertani berpindah-randah.
Admin The Future of Sabah/Sarawak and the Federation of Malaysia yang diikuti lebih 40 ribu rakan-rakan Facebook berkata, ada seramai 1.7 juta rakyat asing di Sabah tetapi mereka tidak dianggap sebagai ancaman.
“Sebaliknya orang asal Sabah pula dituduh sebagai ancaman dan penceroboh di atas tanah sendiri. Orang asing pula bukan ancaman kepada rakyat Sabah.
“Mungkin akibat terlalu ramai pendatang di Sabah, maka inilah kenyataan yang dibuat oleh orang yang tidak bertanggungjawab ke atas penduduk asal Sabah,” katanya.
Penyelaras Hak Tanah Pacos Trust, Galus Ahtoi berkata, JPS ‘bermain di belakang’ di mana apabila berada di hadapan, mereka mengguna baju tradisi orang asal tetapi di belakang, menghina mereka.
Katanya, sikap hipokrit JPS ini dialami orang asal yang mewarisi dan memiliki Tanah Adat (NCR) yang kemudiannya diwartakan sebagai Hutan Simpan tanpa mengikuti prinsip dalam enakmennya sendiri iaitu Enakmen Hutan Simpan 1968.
“JPS sudah gembira kerana Mahkamah Rayuan memberi kemenangan kepada mereka dalam kes rayuan penduduk Kampung Imahit, Tenom melawan Kerajaan Malaysia,” katanya.
Galus merujuk kepada kes di mana penduduk kampung kalah di Mahkamah Majistret Tenom tetapi menang di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan kalah lagi di Mahkamah Rayuan.
Katanya, mereka akan tetap melawan sampai menang, biar kalah asal sudah bercakap benar.
Turut mengecam Mannan ialah perwakilan 47 pertubuhan yang menyertai Forum Persidangan Jaringan Perhutanan Sosial Asean (ASFN) di sini, baru-baru ini dengan berkata, penanaman berpindah randah dan pertanian bergilir tidak boleh dilihat sebagai menjejaskan hutan.
Mereka tidak setuju dengan tuduhan bahawa cara hidup orang asal boleh mengancam dan kemudian menuduh mereka sebagai penceroboh hanya kerana amalan pertanian bergilir dan berpindah randah di kawasan hutan simpan.
“Mungkin pengarah JPS tidak memahami cara hidup penduduk kampung,” kata mereka.
Pengarah Eksekutif JOAS, Jannie Lasimbang berkata, kenyataan Mannan itu amat memalukan memandangkan Sabah dipilih sebagai tuan rumah sidang ASFN yang kelima.
Persidangan ASFN ini berbincang mengenai isu mata pencarian, pembangunan perusahaan berasaskan komuniti, hak tenurial, pemuliharaan, perubahan iklim dan keselamatan makanan dengan menekankan perlindungan, kemasukan dan memperkasakan komuniti yang bergantung kepada orang asal dan hutan.
Chupinit Kesmanee, Ahli Lembaga Penasihat Pakatan Orang Asal Asia (AIPP) berkata, pertanian bergilir adalah kaedah berdaya maju dan mampan pertanian bagi sesebuah tanah yang dibiarkan kosong selama tujuh tahun atau lebih.
“Ini kerana ia boleh memberikan kepelbagaian yang tinggi pada tanaman untuk mengukuhkan lagi keselamatan makanan dan pemuliharaan biodiversiti,” katanya.
Penduduk asal etnik Karen di Hua Hin Lad utara Thailand contohnya menanam lebih daripada 100 jenis tumbuhan tempatan di mana 90 daripadanya datang daripada kawasan tanah yang mengamalkan penanaman pindah randah.
Katanya, sebilangan besar orang asal di Asia mengamalkan sistem kehidupan tradisional dan mampan melalui penanaman pertanian bergilir di kawasan hutan masing-masing.
“Malah para sains di seluruh dunia sudah mengkaji dan mengesahkan bahawa pertanian pindah adalah sebahagian daripada lanskap hutan tropika.
“Ia kritikal kepada pemuliharaan biodiversiti di semua hutan tropika yang masih besar dunia iaitu di Amazonia, Borneo dan Afrika Tengah,” katanya menambah sistem pertanian tradisional dan sistem perhutanan komuniti menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti, menangkap karbon dan menjamin makanan.
Menurut Chupinit, mereka berharap pemegang berkepentingan perhutanan sosial boleh menghargai dan menyokong serta meningkatkan sistem itu pada masa hadapan.
Kajian semula strategi dan mekanisme ASFN menonjolkan sokongan kuat, antara lain, pengiktirafan dan penguatkuasaan wilayah serta hutan adat orang asal, memandangkan masyarakat adalah sebagai sebahagian daripada penyelesaiannya.
Katanya, penting menggunakan peluang-peluang yang disediakan oleh ASFN untuk berdialog mengenai isu-isu pemuliharaan untuk menjelaskan salah faham tentang penanaman pindah randah.
“Ini juga untuk melihat sistem pertanian tradisional dari pandangan lanskap yang lebih besar termasuk sistem perhutanan masyarakat dan perhutanan tani,” katanya.
Memaksimumkan peluang-peluang ini katanya, akan dilakukan dengan baik untuk memupuk persefahaman lebih baik dalam mempromosikan perhutanan sosial di rantau ini.