Tanah untuk tadika dibina kondo mewah

Tuesday 25 March 2014


KOTA KINABALU: Pembinaan sebuah kondo mewah 30 tingkat berdekatan Taman Sri Gaya telah menimbulkan tanda tanya di kalangan penghuni di Taman Sri Gaya akan bagaimana kawasan yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembinaan sebuah tadika menjadi kawasan kediaman kepadatan tinggi.

Seorang penghuni yang enggan dikenali, menyuarakan kerisauannya tentang kemasukan lori dan jentera besar disekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya yang pada amnya sesak ketika pelajar mulai dan akhir sesi persekolahan.

Di samping itu, perlakuan pekerja binaan tersebut yang sengaja menyekat jalan masuk ke tempat pembinaan menyebabkan kesesakan lalu lintas setiap kali ibu bapa datang menghantar dan mengambil anak anak mereka dari sekolah, katanya.

Beliau juga menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kerja pembinaan berlarutan sehingga jam 10 malam dan bunyi jentera mengganggu penghuni yang hendak rehat selepas penat berkerja.

Penghuni tersebut juga mendakwa syarikat pembinaan juga melakukan aktiviti mencuri bekalan elektrik dan air dan menyeru pegawai elektrik dan air datang untuk memeriksa sama ada tiang elektrik dan paip air mereka telah diubah suai.

Oleh itu, satu jawatankuasa tindakan diantara penduduk dan ibubapa sekolah telah diwujudkan untuk membincangkan persoalan dan permasalahan mengenai pembinaan kondo mewah yang dipercayai mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)

Mohan, yang selaku pengerusi Jawatankuasa Tindakan Penghuni dan Ibubapa SK Sri Gaya, menyatakan penghuni Taman Sri Gaya telah keluar dan membuat bantahan rasmi pada 18 Februari, ke atas projek pembinaan tersebut dipercayai bermula pada dua bulan yang lalu.

Lebih daripada 200 tandatangan telah berjaya dikutip daripada penghuni sekitar kawasan Sri Gaya yang membantah pembinaan kondo mewah 30 tingkat tersebut.
 
“Sebanyak 70 penghuni dalam 55 buah rumah akan terjejas dengan kerja pembinaan kondo mewah 30 tingkat yang menyebabkan kawasan parit tersebut menjadi kotor dan tersumbat,” katanya.

Beliau juga hairan bagaimanakah DBKK meluluskan pembinaan bangunan 30 tingkat tanpa mempertimbangkan akan ketinggiannya, skala, letak kereta, jalan, saliran pembentungan, alam sekitar dan sebagainya.

Gagal

Beliau mendakwa bahawa pihak pemaju gagal mendapatkan persetujuan daripada penghuni sebelum memulakan kerja pembinaan seperti yang diperuntukkan dalam peraturan kebenaran dan telah memberikan maklumat yang salah kepada pihak berkuasa dalam permohonan kebenaran.

Beliau kemudian mendedahkan bahawa hak milik tanah tertulis penama Vincent Chia dan Haji Mohamad Affendi yang merupakan pemegang amanah bagi pertubuhan yang dikenali sebagai Tadika Nasional.

Mohan yang juga pengerusi kawasan Kota Kinabalu, Persatuan Perlindungan Pengguna Sabah (CAPS) mengumumkan bahawa satu sesi dialog akan diadakan di antara penduduk, persatuan ibubapa dan pihak berkepentingan di dewan SK Sri Gaya pada 4 April 2014, jam 2 petang.

Beliau juga berharap DBKK, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Hiew King Cheu dapat menghadiri sesi dialog ini

“Ia akan dilakukan dalam keadaan yang baik dan muhibbah dan diharap semua yang dijemput akan dapat hadir dan menerangkan kepada penghuni bagaimana keputusan untuk memberikan kelulusan projek tersebut dapat dicapai,” katanya.

Mohan menegaskan bahawa kegagalan pihak terlibat menghadiri sesi ini akan menyebabkan penduduk tidak mempunyai jalan lain selain daripada memohon tindakan dari mahkamah sebagai jalan penyelesaian.

ADUN Likas Junz Wong dalam kenyataan medianya kesal akan kegagalan ADUN Luyang Hiew dalam membantu penghuni Taman Sri Gaya sebaliknya membuat kenyataan menyokong pembinaan kondo mewah tersebut.
 
Beliau hairan kegagalan ADUN Luyang menjelaskan bagaimana pemaju tersebut mendapat kebenaran dan langkah mendapatkan kebenaran tersebut ketika menemui syarikat pemaju tersebut tanpa membawa wakil penghuni taman perumahan dan persatuan ibubapa sekolah.

Beliau juga hairan kenapa ADUN Luyang gagal melihat bagaimana pemegang amanah dapat menjual tanah yang sepatutnya dibina tadika tanpa ganti rugi, siapakah pihak pembeli dan berapa nilai harga jualan tanah tersebut.

Junz menjelaskan bahawa beliau telah dimaklumkan oleh ibubapa SK Sri Gaya dan penghuni Taman Sri Gaya yang berpendapat bahawa kawasan tersebut sepatutnya dibina tadika yang akan membawa faedah kepada penduduk setempat dan berhampiran.

Menjelaskan

Beliau berharap jabatan kerajaan dan menteri yang terlibat dapat datang dan menjelaskan secara terperinci maklumat yang mendorong mereka meluluskan pembinaan kondo mewah 30 tingkat yang pada awalnya telah dikhaskan untuk pembinaan tadika.

“Sekiranya penghuni dan ibubapa sekolah puas hati akan penjelasan mereka, maka saya sudah menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

“Kementerian terlibat mestilah berani untuk menjelaskan keputusan yang mereka telah buat. Sekiranya ia sah dan membawa kebaikan kepada masyarakat, tidak perlu berdiam diri,” tambahnya.

Merujuk kepada geran tanah (TL 017537503) yang diperolehi daripada pejabat Jabatan Tanah dan Ukur 14 March 2014, Junz menjelaskan bahawa ia masih diperuntukkan dan dimiliki oleh badan amanah yang dikenali sebagai Tadika Nasional.

Beliau mendakwa, pemaju gagal melakukan rundingan awam dengan penghuni setempat sebelum kerja pembinaan dimulakan seperti yang diperlukan dalam peraturan Perancangan Bandar dan Wilayah dimana pemaju dan DBKK seharusnya terlibat.

Pemaju juga didakwa telah melanggar garis panduan ketinggian bangunan yang dirujuk dalam seksyen 8, Akta Penerbangan Awam 1969 dan Perintah Aerodrome (kawasan terkawal) 1982.

Pelan Pembangunan bernombor 99197165 jelas sekali melangkaui ketinggian 49 meter dan kebanyakan penghuni hairan kenapa dewan bandaraya boleh meluluskan pembinaan yang setinggi 100 meter dalam kawasan yang dihadkan.

Selain itu, Junz juga mendakwa pemaju telah mencerobohi tanah bersebelahan CL 017546280 yang telah diperuntukkan sebagai kawasan terbuka dan padang sukan. Tidak pasti sama ada kawasan tersebut telah diberikan atau dijual kepada pihak pemaju.

Projek pembinaan ini menyebabkan ramai terpikir sama ada pemaju sebenarnya faham atau telah mempertimbangkan akan jalan yang sedia ada mampu mengendalikan penambahan lalu lintas dan permintaan ke atas infrastruktur peparitan dan pembentungan.

FMT Borneo Plus

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.