Rakyat Dapat Tulah Jika Tidak Undi BN?

Sunday 23 March 2014

Pembangkang kecam Ketua Menteri Sarawak mengugut pengundi Balingian tidak akan dapat dana jika mereka tidak undi BN

KUCHING: Kenyataan ‘tulah’ atau menyumpah yang dikeluarkan Ketua Menteri Adenan Satem, menyebabkan kemarahan dua pemimpin PKR Sarawak yang mengkritik beliau menggunakan perkataan tidak sepatutnya dan mengugut pengundi pilihan raya kecil Balingian yang akan diadakan hujung minggu depan.

“Saya berasa terganggu dengan ancaman Adenan yang mengugut jika pengundi tidak memilih calon BN-PBB, mereka akan ‘tulah’ (dilaknat),” kata Ketua PKR negeri, Baru Bian.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas bekas Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud, meletak jawatan pada 28 Februari dan berhenti sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Balingian, yang akan ditandingi oleh calon BN-PBB, Yussibnosh Balo dan calon Pakatan Rakyat-PKR Abdul Jalil.

Semalam, Adenan dilaporkan memberitahu pengundi Balingian, bahawa Taib Mahmud, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Balingian dari tahun 2001 hingga Februari 2014 dan kini Gabenor Sarawak, memintanya untuk menyampaikan mesej ini kepada penduduk di Balingian.

“Sebelum bersara, beliau memberitahu saya untuk mengingatkan anda mengenai apa yang telah dilakukannya untuk penduduk Balingian dan mengingatkan anda akan sumbangan beliau kepada rakyat di kawasan itu, dan juga kepada seluruh negeri ini.

“Jadi saya perlu memberitahu anda bahawa jika anda benar-benar menghargai beliau, beliau mahu semua mengundi calon BN-PBB kerana ia juga merupakan partinya.

“Tetapi jika anda mengabaikan nasihat beliau, ia bermakna anda akan ‘tulah (dilaknati) kerana beliau sudah melakukan begitu banyak untuk anda,” Adenan dilaporkan sebagai berkata.


Ini merupakan ujian pertama kepimpinan Adenan sejak beliau mengambil-alih jawatan Ketua Menteri pada 28 Februari.

Mengutuk Adenan atas kata-katanya itu, Baru yang juga Adun Ba’Kelalan, menyifatkan kenyataan itu sebagai “sangat buruk”.

“Ia amat tidak bertanggungjawab bagi Adenan menggunakan ancaman politik (dan) menjadikan rakyat sebagai tebusan. Saya amat terganggu dengan ancaman beliau itu.

“Segala wang yang dibelanjakan untuk pembangunan, jika adalah pembangunan di Balingian, ia bukannya wang Taib. Ia adalah wang rakyat maka itu mereka tidak berhutang apa-apa kepada Taib.

“Jelas sekali, rakyat tidak gembira dengan kekurangan pembangunan di daerah kecil Balingian walaupun bekas Ketua Menteri merupakan wakil rakyat mereka di sana,” kata Baru.

Beliau berkata, bahawa tidak ada sumpahan walaupun jika rakyat tidak mengundi BN dan disebabkankan itu rakyat tidak perlu takut.

“Jika anda melihat Selangor dan Pulau Pinang di mana rakyat memilih Pakatan Rakyat, jangankan dilaknati, mereka sebaliknya diberkati dengan hasil lebih baik dalam pembangunan yang diterajui kerajaan yang lebih baik.

“Di manakah sumpahan itu? Rakyat tidak patut percaya kepada ancaman seperti ini,” katanya.

“Dengan menggunakan ancaman politik, jelas sekali mereka cuba memperbaiki kegagalan 50 tahun mereka, kerana ini adalah masa pengundi mungkin mahu menghukum mereka dengan mengundi pembangkang selepas mengetahui rekod baik mereka di Balingian.

“BN kini di bawah tekanan,” katanya.

Rakan sekerja Baru, See Chee How yang merupakan Naib Pengerusi PKR dan pengarah PKR untuk pilihan raya kecil itu, meminta BN supaya menjadi lebih sensitif, menunjukkan bahawa dengan kenyataan itu, Adenan sudah melangkaui garis undang-undang dan peraturan pilihan raya.

“Kenyataan Adenan itu juga ada unsur-unsur rasuah. Amat jelas dalam daftar pemilih anda tidak boleh menggunakan ancaman jika mereka mengundi pembangkang, maka mereka tidak akan mendapat dana.

“Sebagai Ketua Menteri, Adenan tidak patut mengugut penduduk kerana wang, itu adalah wang rakyat. Sebagai kerajaan, anda perlu melayan rakyat sama rata.

“Jangan gunakan ancaman dan ganjaran kerana ini melanggar undang-undang pilihan raya di negara ini, kata ADUN Batu Lintang itu.

“Ini menunjukkan mereka sangat terdesak untuk menang selepas mengabaikan kawasan pilihan raya ini selama 50 tahun yang lalu, sehinggakan mereka mengambil jalan dengan mengancam dan dorongan,” katanya. – JT

Borneo Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.