PTI dicekup dalam ‘lubang tikus’

Saturday 29 March 2014


KOTA KINABALU: Taktik sekumpulan pendatang tanpa izin (PTI) yang bersembunyi dalam satu ‘lubang tikus’ di sebuah rumah di Kampung Sembulan Lama, dekat sini, sia-sia apabila kesemua mereka berjaya dicekup, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika sepasukan anggota polis menjalankan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di sekitar kampung berkenaan.

Difahamkan, kumpulan PTI terbabit bertindak bersembunyi di dalam satu ruang sempit di bahagian dapur kediaman mereka selepas menyedari pihak polis melakukan pemeriksaan di rumah mereka.

Bagaimanapun tindakan mereka sia-sia apabila salah seorang rakan mereka yang tidak sempat bersembunyi telah ‘pecah tembelang’ seterusnya membawa kepada penangkapan semua PTI terbabit.

Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Superitendan Suhaimi Wiro, berkata seramai 59 PTI ditangkap dalam operasi yang bermula jam 4 hingga 6.30 pagi itu.

“Seramai 94 individu diperiksa di Kampung Sembulan Lama dan 59 daripada mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seramai 35 daripada yang ditahan adalah lelaki manakala 16 lagi wanita dan empat kanak-kanak, semuanya berusia antara 2 hingga 50 tahun,” katanya.

Suhaimi berkata, semua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati empat daripada mereka positif dadah.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala empat daripada mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan,” katanya.-WB

Borneo Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.