Maut dirempuh kereta api

Monday 31 March 2014


BEAUFORT: Seorang pekerja kontrak terbunuh selepas dirempuh kereta api ketika menjalankan kerja-kerja menukar kayu landasan di Kilometer 95.1 Jalan Beaufort-Kota Kinabalu, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki tempatan berusia 41 tahun terbabit dipercayai tidak mendengar bunyi hon amaran berikutan keadaan hujan lebat selain bunyi bising mesin yang digunakan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan di situ.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya sedang melakukan kerja menukar kayu di landasan kereta api berkenaan.

Sebelum kemalangan berlaku, pemandu kereta api yang dalam perjalanan dari stesen Halogilat ke Beaufort itu dikatakan sempat membunyikan hon sebagai tanda amaran sebaik melihat kelibat pekerja di situ.

Bagaimanapun, bunyi amaran itu dipercayai tidak dapat didengari mangsa akibat hujan lebat dan ketika itu juga, mereka menggunakan sejenis mesin yang menghasilkan bunyi.

Difahamkan juga, rakan mangsa sempat melompat keluar selepas menyedari kehadiran kereta api berkenaan, namun mangsa tidak sempat menyebabkan dia dirempuh lalu tercampak ke tepi landasan.

Kereta api terbabit juga tidak dapat diberhentikan serta-merta, sebaliknya memerlukan jarak kira-kira 100 meter untuk berhenti sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan serius di kepala meninggal di tempat kejadian dan telah dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.-WB

Borneo Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.