Kesatuan guru Sabah sokong elaun rumah diseragam

Monday 31 March 2014


TENOM: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) amat mengalu alukan langkah Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi membangkitkan di Dewan Rakyat isu kadar elaun perumahan wilayah (EPW) bagi guru diseragamkan.

Malahan isu itu sepatutnya diselesaikan kira-kira 10 tahun yang lalu di mana perbezaan besar kadar elaun guru antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung sangat ketara membuatkan ada keperluan untuk dikaji semula.

Presidennya, Hussin Basir berkata demikian ketika memberitahu pemberita pada Selasa bahawa KGKS menyokong penuh pekara yang dibangkitkan oleh pemimpin itu (Datuk Raime) bahawa isu itu adalah benar dan perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pihak kerajaan.

“Tidak ada bezanya seperti guru yang berasal dari Tenom bertugas di Tawau kerana mereka juga memerlukan kos sewa rumah yang tinggi sama seperti rakn dari kawasan yang lain.

“KGKS mencadangkan elaun sedia ada dikekalkan dan juga penambahbaikan kadar elaun perumahan kepada semua pegawai perkhidmatan awam di Malaysia memandangkan hari ini sewa rumah dan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya sambil mengharapkan agar isu itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Selain itu, Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Bersama Kesatuan/Persatuan Guru Sabah dan Sarawak berkata, KGKS turut menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tiga penambahbaikan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) baru-baru ini.

Tambahnya, adalah amat sesuai sekali sekiranya PBS dilaksanakan secara ‘Off Line’ (bukan ON LINE) untuk mengurangkan beban kerja guru guru yang terpaksa menunggu sekitar 24 jam untuk mendapat akses internet kerana faktor keadaan geografi disesuatu kawasan antara Sabah dan Sarawak terlalu sukar mendapat capaian internet.

“Apabila penambahbaikan ini dilaksanakan, hal ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan beban guru apabila dilaksanakan secara ‘Off Line’.

“ KGKS berharap apabila beban tugas guru dapat dikurangkan, maka guru dapat memberikan tumpuan yang lebih baik kepada pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sekaligus dapat membantu meningkatkan pencapaian akademik murid-murid,” katanya.

Kami amat berterima kasih kepada kerajaan di atas keperihatinan mendengar masalah-masalah guru yang disampaikan melalui kesatuan-kesatuan guru, tegasnya.

FMT Borneo Plus

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.