Tragedi Pulau Pom Pom: Jangan panik... Kejadian Berlaku Di Kawasan Terpencil!

Tuesday 19 November 2013

Jangan panik... Kerana kejadian berlaku di kawasan terpencil!
"keadaan kawasan pesisir pantai yang panjang dan luas khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) menyukarkan pasukan keselamatan untuk mengawal setiap inci sempadan laut negara" - Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek
"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak panik ekoran kejadian ini kerana keadaan di sini (pantai timur) terkawal. Kita tunggu siasatan pihak polis dan jangan buat sebarang spekulasi," - Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek 
"Sabah masih selamat untuk dilawati kerana kejadian berlaku di kawasan terpencil" - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman
kejadian culik dan bunuh di Pulau Pom Pom, Semporna awal pagi Jumaat tiada kaitan dengan insiden pencerobohan dahulu. Sebaliknya kejadian itu merupakan kes terpencil membabitkan penjenayah. - Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek

Mengulas mengenai laporan media yang mendedahkan identiti mangsa, berikut adalah jawapan sempoi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.. “Apakah motifnya laporan media hari ini bahawa mangsa culik itu mempunyai hubungan dengan golongan pemimpin atasan di negara mereka. Adakah media ingin bertanggungjawab terhadap nyawa mangsa jika dia terancam?”

Ulasan:

Jika kawasan pesisir pantai yang panjang dan luas dijadikan alasan, bermakna tidak ada makna lah jaminan kerajaan bahawa negeri ini akan lebih selamat dari sebarang bentuk jenayah samada pencerobohan, penyeludupan, penculikan atau sebarang bentuk jenayah berkaitan merentas sempadan. Apa yang bermain difikiran penulis selepas membaca alasan Ketua Pengarah ESSCOM ini, bahawa jenayah berkaitan rentas sempadan tetap akan berlaku selagi kawasan persisir pantai Sabah tidak dipendekkan atau disempitkan..?

Macam mana orang ramai tidak panik jika pembunuhan dan penculikan itu boleh berlaku hanya kurang 1KM dari pangkalan Pasukan Gerakan Am? Bukan main tembirang lagi kerajaan umumkan kawasan keselamatan ESSCOM dan ESSZONE tapi jenayah rentas sempadan tetap juga berlaku. Kawasan tumpuan pelancong sepatutnya lebih ketat dikawal lebih-lebih lagi bagi sebuah pulau kecil yang mana kawasan pesisir pantainya tidaklah panjang dan luas sangat.

Sebagai Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman sepatutnya mengelak dari membuat kenyataan dangkal dengan mengatakan bahawa Sabah selamat hanya kerana kejadian tersebut berlaku di kawasan terpencil. Apakah penduduk di kawasan terpencil tidak bernilai nyawa mereka? logik kah kawasan tumpuan pelancong seperti pulau Pom Pom disifatkan sebagai kawasan terpencil? Bagaimana pula dengan kes tembakan (pembunuhan) di kawasan bandar seperti yang berlaku di Beverly Hills, Penampang?

Terpencil atau tidak, orang ramai tetap BERHAK mempersoalkan tahap keselamatan mereka selepas kerajaan menghabiskan puluhan juta ringgit untuk menubuhan kawasan keselamatan ESSCOM dan ESSZONE.

Melalui kenyataan Musa Aman, terjawablah persoalan kenapa kawasan luar bandar di Sabah kekal mundur dari dulu kini dan selamanya. Rupanya, bagi beliau, kes-kes seperti itu adalah kes terpencil yang tidak perlu diambil perhatian oleh kerajaan mahupun rakyat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak patut menuding jari terhadap mana-mana media yang membuat liputan mengenai kes ini. Kesilapan awal adalah dipihak beliau sendiri.. Jika beliau bersungguh-sungguh memikul tanggungjawab beliau, kes pembunuhan dan penculikan tidak akan berlaku.. Masalah utama sekarang adalah, kes bunuh dan culik sudahpun berlaku disebabkan oleh kecuaian dan kelemahan pihak polis. Sekurang-kurangnya media yang membuat liputan mengenai insiden ini dapat memberikan gambaran jelas kepada orang ramai sekaligus mengelakkan kejadian sama berlaku terhadap diri, keluarga atau saudara-mara mereka.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.