Menghina kaum Kadazan: Sukarkah memohon maaf?

Monday 4 November 2013

KOTA KINABALU: Apabila Mufti Sabah, Bungsu Aziz Jaafar ‘menjolok sarang tebuan’ dengan mencadangkan supaya para muslim daripada suku kaum di Sabah ‘dijadikan’ bangsa Melayu, beliau menerima pelbagai kritikan dan kutukan daripada semua lapisan masyarakat Sabah, termasuk daripada kalangan muslim tempatan dan ahli politik yang menganggap saranan itu bermotif jahat dan boleh memecah-belah perpaduan.

Namun, apabila dalam ceramah yang sama beliau menuduh kononnya etnik Kadazan merupakan nama kaum yang dicipta sebelum kemerdekaan, ia membuatkan ‘tebuan’ yang kemarahan bertindak menyengatnya dengan menuntut supaya beliau memohon maaf secara terbuka dan membayar ‘sogit’ untuk menyejukkan amarah yang semakin membara.

Sogit adalah denda yang dikenakan ke atas pesalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Anak Negeri kerana kesalahan membabitkan adat kampung.

Bungsu tidak melakukan apa-apa walaupun jelas sekali kenyataannya menyinggung perasaan semua pihak, terutama penduduk Kadazan, Dusun dan Murut yang beragama Kristian di Sabah.

Sehingga sekarang beliau belum meminta maaf, jauh sekali membayar ‘sogit’ atau denda yang dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri yang bersidang beberapa minggu yang lalu di Penampang dan Keningau.

Warga netizen tidak pernah berhenti mengutuk beliau, mendesaknya untuk meminta maaf. Beliau berdiam diri dan dibela oleh rakan-rakannya dan organisasi Islam yang jelas sekali mempunyai pendapat yang sama dengannya.

Mungkin bagi orang lain, meminta maaf adalah perkara biasa dan semulajadi dilakukan jika ia menyinggung atau menyakitkan perasaan orang lain. Seseorang tidak perlu ada agama untuk mengetahuinya. Kanak-kanak sudah tahu meminta maaf apabila melakukan kesalahan.

Persoalannya, kenapakah seorang dewasa yang berpangkat mufti begitu berat mulut untuk meminta maaf? Bukankah meminta maaf adalah sikap yang mulia diajar semua agama kerana ia berkuasa untuk memulihkan kerosakan yang berlaku?

Kemudian, minggu lalu, seorang warga netizen yang juga aktivis sosial Kadazan dari Penampang bernama Jo Nandu, memuatkan satu gambar mufti itu dengan hidungnya diimposkan menyerupai hidung babi di akaun Facebook miliknya. Gambar itu tersebar dengan cepat di FB dan menerima pelbagai komen menyokong dan mengutuk.

Dalam masa beberapa hari, organisasi Islam, Yadim dan rakan-rakannya membuat laporan polis dan mewar-warkan di media meminta tindakan diambil ke atas Jo Nandu.

Mereka berkata, ia (gambar hidung babi) adalah serius dan dilihat sebagai menghina institusi mufti dan umat Islam di Malaysia. Mereka bimbang jika dibiarkan ia akan mencetuskan ketegangan di antara kaum dan agama!

 

Menghukum

“Pantas sekali mereka bertindak untuk menghukum orang lain yang hanya menyuarakan tindak balas atas isu sebenar daripada bertindak ke atas pencetus masalah,” kata kebanyakan komen di FB.

Menyedarinya, Jo Nandu dalam akaun Facebook miliknya semalam (Ahad), segera memohon maaf kepada mereka yang rasa tersinggung melihat gambar yang diposnya itu.

“Sebagai penganut setia ajaran Kristian dan Gereja Katolik, saya percaya kepada kemuliaan ajaran yang dibawa oleh Yesus. Satu perkara yang saya pegang kuat ialah keupayaan orang Kristian untuk meminta maaf dan memaafkan.

“Namun perlu saya tekankan di sini bahawa pos gambar Bungsu Aziz Jaafar dengan hidungnya diedit menjadi hidung babi itu ditujukan hanya untuk dia seorang. Saya tidak pernah pernah menyebut bangsa dan agamanya,” katanya.

Menurut Jo, gambar hidung babi itu adalah reaksi emosinya terhadap seseorang yang menghina bangsa Kadazandusun dan beliau tertanya-tanya bagaimana rasanya jika beliau (Bungsu) berada dalam keadaan yang mereka rasa.

Bungsu katanya, menghina dan ‘bermain-main’ dengan berpura-pura untuk merancang memohon maaf atas kenyataan yang berunsur perkauman tetapi sehingga sekarang dia belum muncul untuk membuat kenyataan terbuka.

Bagaimanapun kata Jo, permohonan maaf itu tidak ditujukan kepada Bungsu atas tindakannya menghina kaum Kadazan dengan kenyataan bahawa Kadazan adalah bangsa yang dicipta.

Ia ditujukan kepada mereka yang lain yang mungkin tersinggung dengan gambar itu.

“Mula-mula, Bungsu mesti membayar sogit dan mesti menjawab dua panggilan Mahkamah Anak Negeri di Penampang dan Keningau. Saya hanya menghina beliau seorang tetapi beliau menyinggung perasaan seluruh penduduk Kadazandusun di Sabah.

Tersinggung

“Saya meminta maaf dengan ikhlas kepada semua yang berasa tersinggung dan berterima kasih kerana memaafkan saya. Saya mengaku gambar itu mungkin salah tetapi mereka yang berfikiran rasional akan tahu bahawa gambar itu bukan disasarkan kepada bangsa dan agama yang dianuti Bungsu,” katanya.

Jo meminta Bungsu untuk keluar daripada tempat persembunyian dan mula meminta maaf kepada semua masyarakat Kadazandusun sekarang jika mahu menyelesaikan kemelut yang diciptanya sendiri itu secepat mungkin.

Ketika dihubungi, kata Jo bukan niatnya untuk menghina agama dan bangsa kaum lain kerana seperti juga dengan kebanyakan keluarga di negeri ini, beliau juga ada ahli keluarga dan kawan-kawan yang beragama Islam.

“Dan walaupun mungkin mereka itu mualaf, mereka juga tidak sanggup menukar bangsa mereka,” katanya menyamakan kenyataan Bungsu itu berunsur politik dengan niat ‘membersih etnik’ kaum Kadazan.

Menurut Jo, beliau akan terus melakukan apa yang difikirkannya betul untuk mendedahkan kebenaran terutama dengan apa yang berlaku di daerah kelahirannya di Penampang yang majoriti penduduk adalah Kadazan Kristian.

Jika tidak diperiksa dan diambil tahu, pihak luar akan mengambil kesempatan terhadap penduduk asal di daerah ini, tambahnya,

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Darrell Leiking, memuji tindakan pantas Jo Nandu yang mengakui dan meminta maaf kerana memuat gambar Bungsu berhidung babi di Facebook.

“Kerendahan diri dan keikhlasannya meminta maaf menunjukkan betapa hari ini masih ada sikap mulia itu di kalangan orang muda (yang diajar oleh semua agama).

“Tetapi ini bertentangan dengan sikap angkuh Bungsu yang menghina kaum Kadazan kemudian pura-pura mahu ‘menyediakan kenyataan permohonan maaf’ yang mana sehingga sekarang ianya tidak ditunaikan lagi,” kata Darrell.

Menurut Darrell, Bungsu sepatutnya belajar daripada sikap mereka yang jauh lebih muda daripadanya bagaimana menjadi manusia bermaruah dan menjadi rakyat sejati Sabah dengan mengakui kesilapan dan kemudian memohon maaf.

Bersabar

Sementara itu, admin akaun Facebook The Future of Sabah/Sarawak And The Federation of Malaysia berkata, ketika kenyataan Bungsu menghina seluruh kaum Kadazan, masih ramai dapat bersabar dengan keceluparannya.

“Ketika anak jati Sabah menyerang dia seorang secara peribadi ada pula pihak yang terang-terangan menangguk di air keruh dengan cuba membabitkan kaum agama dan perpaduan. Kononnya, perpaduan akan terjejas sedangkan semua sama tahu bahawa Bungsu adalah pencetus kepada kemelut ini,”

“Jika Bungsu bertindak seperti Datuk Ibrahim Ali, maka layanan orang lain terhadapnya sama juga seperti yang diterima Ibrahim Ali. Sedangkan mahkamah adat Sabah tidak dihormati, mengapa pula beliau menuntut dirinya dihormati.

“Jangan gunakan nama agama sebagai lesen untuk menindas orang lain,” demikian pos daripada pentadbir di akaun itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Peter Umbuas mengesahkan polis menerima laporan daripada Yadim itu pada jam 12 tengah hari Sabtu dan pihaknya akan melakukan siasatan terperinci.

Bungsu menerima kecaman hebat daripada pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kenyataannya untuk “memelayukan” etnik Bumiputera beragama Islam di Sabah.

Kenyataan kontroversi Bungsu itu dipetik melalui ucapannya di Simposium Mendepani Agenda Asing Melayu dalam Krisis Kepimpinan di Putrajaya, September lalu yang ditujukan khusus kepada orang Islam, kononnya dengan matlamat menyatukan orang Islam di Sabah.

Terbaru, Putrajaya memutuskan Mufti Sabah itu mesti menarik balik kenyataan kontroversialnya terhadap masyarakat Bumiputera Sabah dan meminta maaf.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ewon Ebin berkata, Kabinet Persekutuan membuat keputusan itu selepas mesyuarat diadakan pada Rabu lalu.

“Kerajaan terpaksa campur tangan memaksa Bungsu menarik balik kenyataannya dan meminta maaf. Memalukan,” kata Jo.

Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.