Adakah kes culik jejas industri pelancongan Sabah?

Thursday 21 November 2013

KOTA KINABALU: Malang bagi industri pelancongan Sabah apabila dalam masa terdekat ini, ia pasti kehilangan ramai pelancong berpotensi dari Taiwan gara-gara insiden bunuh dan culik pasangan dari negara itu ketika mengunjungi Pulau Pom Pom di Sempurna, Jumaat minggu lalu.

Ini diburukkan lagi selepas Taiwan mengeluarkan amaran warna ‘oren’ iaitu kedua tertinggi daripada empat warna sistem advisori pelancongan negara itu yang menasihatkan rakyatnya untuk mengelak daripada berkunjung ke Sabah.

Kejadian terbaru ini pasti menjejaskan usaha-usaha yang sudah digaris oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta pemain-pemain utama dalam industri pelancongan negeri memandangkan negara-negara dari Asia Utara seperti China, Hong Kong, Korea dan Jepun merangkumi lebih 50 peratus daripada kira-kira 100,000 pelancong yang tiba di negeri ini sehingga September tahun ini.

Menterinya, Datuk Masidi Manjun perlu inovatif dan panjang akal untuk menterbalikkan situasi jika keadaan tidak memihak kepada usaha-usahanya memandangkan ini merupakan tamparan kedua yang perlu dihadapi industri pelancongan tahun ini yang menjana pendapatan lumayan kira-kira RM5 bilion (angka tahun lalu).

Walaupun beliau optimis dan menjangkakan kejadian terbaru tidak akan memberi kesan yang ketara, sesuatu mesti perlu dilakukan untuk terus menjadikan kepulauan Sabah menjadi destinasi utama. Kerajaan mesti mengetatkan keselamatan.

Tidak dinafikan industri pelancongan negeri menghadapi banyak cabaran sejak akhir-akhir ini daripada krisis ekonomi hinggalah kepada wabak penyakit, bencana alam dan penggantungan penerbangan terus ke negara lain.

Pencerobohan pengganas bersenjata di Kampung Tandua Lahad Datu pada awal tahun juga memberi kesan kepada industri kerana ia memberi isyarat seolah-olah negeri ini tidak selamat untuk dikunjungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang, Datuk Nasir Sakaran berkata, kejadian pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom boleh berlaku di mana-mana di dunia ini tetapi jika ia berlaku berulang kali (di Sabah), ia boleh menghantar mesej kepada seluruh dunia mengenai kelemahan sistem keselamatan negara.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu menyelaraskan segala jadual rondaan dan pemantauan manakala kemudahan keselamatan dan infrastruktur di pos keselamatan di pulau-pulau, terutama di pantai timur Sabah dipertingkatkan.

“Ini untuk memastikan ahli-ahli pasukan keselamatan sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental apabila berlaku ancaman,” katanya membahaskan Bajet 2014 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa lalu.

Publisiti

Katanya, penting juga sistem pertahanan negara tidak terlalu didedahkan dengan publisiti berlebihan kerana bimbang penjenayah mungkin mengambil kesempatan daripada maklumat yang diperolehi itu,” katanya.

Mengambil contoh tanah yang diperolehi untuk tujuan logistik pertahanan dan kem tentera, katanya, pengambilan tanah itu baru sahaja di peringkat perancangan tetapi ia diberi publisiti secara meluas.

Keyakinan tinggi jelas terserlah terhadap Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diberikan oleh kerajaan berikutan pencerobohan rakyat asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna pada Februari tahun ini.

Nasir mengakui bahawa tidak mudah untuk mengawal kawasan pesisiran yang luas di Pantai Timur dan disebabkan itulah mudah bagi elemen asing memasuki Sabah dan keluar tanpa dikesan oleh pasukan keselamatan.

“Keadaan ini mempunyai kesan yang besar ke atas keberkesanan sistem keselamatan terhadap penduduk di sini. Dalam erti kata lain, kejadian di Pom-Pom harus memberi amaran memgenai prestasi sistem keselamatan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, kes bunuh dan penculikan di Pulau Pom-Pom bukan kes terpencil tetapi perlu diberi perhatian serius kerana modus operandi yang sama akan digunakan oleh penceroboh Sulu di masa depan.

Oleh itu, tindakan segera perlu diambil untuk memastikan sistem keselamatan diselaraskan di antara agensi-agensi keselamatan di pos-pos pengawasan berkenaan.

“Walaupun wujud pos kawalan di Pulau Mataking, Pulau Pandanan, Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Pom-Pom, jenayah masih juga berlaku. Ini mesti diberi keutamaan. Penculikan di pulau ini memberikan gambaran yang jelas bahawa kumpulan penculik ini bukannya kumpulan biasa.

“Mereka arif dengan keadaan perairan di Semporna dan Sabah. Mereka tahu masa, tempat dan kekuatan pasukan keselamatan kita,” katanya.

Menurut Nasir, tidak mungkin mereka yang melakukan angkara bunuh dan culik ini sanggup mempertaruhkan nyawa mereka jika mereka tidak mempunyai pengetahuan luas tentang keadaan keselamatan negeri ini.

Berasimilasi

Hakikatnya, kumpulan penjenayah ini sudah berasimilisasi dalam masyarakat tempatan hingga sukar untuk membezakan mereka dengan penduduk tempatan.

“Mereka mungkin bersembunyi dengan menyamar sebagai nelayan atau sebagai penjual ikan dan pekerjaan lain,” katanya menambah sementara pengeboman ikan tidak lagi menjadi topik utama, ia masih berkaitan dengan isu-isu keselamatan di negeri ini.

Aktiviti ini (pengeboman ikan), kata Nasir masih dijalankan di perairan di Semporna dan juga di Pantai Barat dan berharap pihak berkuasa akan dapat membanteras aktiviti itu sebelum menjadi berleluasa.

Di sidang ini, Nasir turut memberi amaran yang Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pengusaha pelancongan yang enggan memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan pusat peranginan mereka.

Tindakan pengusaha pusat peranginan terbabit hanya mengganggu tugas pasukan keselamatan untuk menjaga ketenteraman awam khsusunya di kawasan perairan.

Dalam kes jenayah ini, polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kes bunuh dan culik dua pelancong Taiwan di Pulau Pom-Pom turut membabitkan orang tempatan atau penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Ini dinyatakan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, beberapa hari yang lalu.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam pukul 1 pagi itu, pelancong lelaki berusia 57 tahun, ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, sementara rakan wanitanya yang berusia 58 tahun hilang, dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki yang menggunakan senjata berat.

Pulau Pom Pom adalah antara beberapa pulau yang jarang ditemui di Laut China Selatan. Ia terletak kira-kira setengah jam adalah dari tanah besar Semporna dengan bot laju. Pulau ini semakin popular dikalangan pelancong asing kerana pantainya berpasir putih dan santai yang belum tercemar.

Banyak kemudahan ditawarkan di pusat peranginan di sini. Ia mewah, selesa dan menitik beratkan privasi pengunjung.

Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.