Tiada Bekalan Air, Kos Penyambungan Paip Ditanggung Penduduk?

Monday, 31 March 2014

KOTA BELUD: Penduduk daerah Kota Belud menagih janji demi janji kerajaan negeri dan persekutuan untuk memberikan bekalan air kepada semua sekolah dan kampung terutama di daerah ini yang kaya dengan sungai jernih tetapi tiada bekalan air.

Seorang pemimpin masyarakat di sini, Andrew Lintangah, mendakwa mungkin tidak sampai 10% daripada sekolah rendah dan menengah yang ada di Kota Belud telah dibekalkan dengan air terawat, selepas 50 tahun berada dalam Persekutuan Malaysia.

Mana pergi semua janji Barisan Nasional itu, tiap tahun, tiap pilihanraya berjanji tetapi sehingga kini majoriti kampung di daerah ini belum mendapat bekalan air bersih?” katanya kepada FMT Borneo hari ini.

Beliau mendakwa pihak kerajaan juga sengaja mengambil langkah sukar untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kota Belud dengan mengenepikan peluang membina lebih banyak mini-empangan atau loji tapisan air yang murah tapi efisien.

“Empangan kecil atau loji tapisan boleh dibina sekurang-kurangnya di tiga tempat seperti di Kampung Sayap, Kampung Losou Podi dan Kampung Melangkap yang berdekatan sungai. Ia hanya memerlukan kuasa graviti untuk menarik air dan tidak memerlukan elektrik untuk menghisap air naik ke atas bukit seperti yang mereka buat baru-baru ini untuk loji di Kampung Bayayat.

“Buat apa bina seperti di Bayayat itu yang memerlukan elektrik mengisap air ke atas bukit sedangkan di tiga tempat yang saya sebut dan disyorkan oleh rakyat tidak perlu berbuat demikian. Bekalan air sudah tersedia dari sungai yang sentiasa jernih, tinggal masukkan ke dalam empangan kecil atau tangki besar seperti di Bayayat. Kenapa perlu tinggikan kos projek?” tegasnya.

Menurut Andrew yang juga aktivis politik, ketika beliau ada peranan dalam parti komponen BN dulu, beliau pernah mengiringi pengarah Jabatan Air Sabah ketika itu, Datuk Cosmas Abah, melawat ke daerah ini dan semua padangan bernas rakyat sudah dikemukakan dan mendapat perakuan Cosmas sendiri.

“Telinga saya sendiri mendengar Datuk Cosmas bercakap sekiranya air sungai-sungai Kadamaian dan Wariu di Koya Belud diurus dengan betul, bekalan air dari daerah ini mampu menampung sehingga ke daerah jiran Kota Marudu,” dakwa Andrew.

Andrew yang pernah mengetuai komponen BN, PBRS di bahagian Kadamaian beberapa tahun lepas, menegaskan majoriti rakyat semakin bosan dan marah dengan keadaan mereka yang sering menjadi mangsa janji di”capatikan” oleh pemimpin BN.

“Sampai bila rakyat Sabah mahu bertahan? Sudah 50 tahun begini, tiada air…” katanya.

Baru-baru ini, beberapa penduduk Kota Belud yang mula dibekalkan dengan air terawat dilaporkan merungut kerana dipaksa membayar kos yang sangat tinggi kepada kontraktor bekalan air untuk menyambung bekalan dari paip utama ke rumah masing-masing.

Mereka mendakwa perlu membayar antara RM550 sehingga RM800 untuk satu pemasangan, dan itupun tidak termasuk kos membeli batang paip dan kelengkapan lain seperti sambungan dan kepala paip.

Mereka mendakwa kerajaan sepatutnya membayar kos itu sebab kerajaan sudah lambat 50 tahun menunaikan janji memberi bekalan air, lagipun pengguna akan membayar bil bulanan air mereka selepas itu.

Sebelum ini kerajaan persekutuan telah mencadangkan pembinaan sebuah empangan air yang menelan belanja hampir RM500 juta di Kampung Tambulion tetapi ia mendapat tentangan hebat penduduk tempatan kerana ia bakal menenggelamkan beberapa kampung dan mendedahkan puluhan ribu rakyat dari ratusan kampung di laluan Sungai Kadamaian kepada bahaya maut jika empangan retak atau pecah.

FMT Borneo Plus 
 
Ulasan:

Segalanya mahal di Sabah selagi BN dan Musa Aman mengetuai pentadbiran kerajaan Sabah. Contoh yang pernah menjadi kontroversi di Sabah sebelum ini ialah mengenai jalan satu lorong berjarak 0.9 km berharga RM14.9 juta yang dianggarkan jalan paling mahal di Malaysia dan mungkin di DUNIA. Difahamkan bahawa Jabatan Kerja Raya negeri Sabah mengumumkan bahawa kos jalan tersebut adalah RM14.9 juta. Harga yang cukup luar biasa sedangkan menurut kajian, kos sebatang jalan adalah kira-kira RM1 juta sahaja paling tinggi. Itupun kalau melibatkan laluan yang lebih banyak dan mempunyai jambatan dan sebagainya.
 
Jadi tidak heran lah jika kerajaan BN sengaja melengah-lengahkan sesuatu projek semata-mata mahu rakyat bersetuju kepada satu projek lain yang lebih besar dan tinggi kos perbelanjaannya. Pemimpin-pemimpin BN di Sabah sengaja mencari peluang dan ruang untuk merompak wang rakyat dengan mempergunakan kesulitan/kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Sabah..

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.