Sabah konsisten pertahankan perjanjian Malaysia?

Thursday, 27 March 2014

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menegaskan bahawa pemimpin-pemimpin Sabah konsisten dalam komitmen mereka mempertahankan perjanjian Malaysia.

“Pendirian saya dalam hal ini tetap sama. Semua sama penting dan tidak diketepikan. Apa yang mencetuskan kontroversi sebelum ini adalah disebabkan perbezaan pandangan.

“Masing-masing melihat dari kanta berbeza, sudut berlainan dan mungkin dari sisi bertentangan.

“Mengikut perspektif masing-masing, sama ada dipengaruhi sentimen politik, kepentingan peribadi, ideologi mahupun jatidiri” Jelasnya dalam blog sskeruak.blogspot.com

Menurut Speaker DUN Sabah itu juga, isu ini pernah menjadi polemik suatu ketika dulu baik menerusi media arus perdana, mahupun di alam siber.

“Soal relevannya. Soal prinsipnya. Dan sama ada ia masih menjadi sandaran dalam membuat keputusan atau tindakan pada hari ini,” tambah beliau..

Beliau mencadangkan supaya rakyat Sabah konsisten tetapi mesti rasional dan tidak keluar daripada ruang lingkup kepentingan nasional.

“Sebagai orang Sabah, saya melihat perkara ini secara konsisten. Bukan atas semangat parokial, tapi secara rasional atas kepentingan nasional”.

Dr Salleh yang juga Adun Usukan menjelaskan bahawa kepimpinan negara di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak begitu bersikap terbuka dan akomodatif dengan keperluan rakyat Sabah.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memahami semangat autonomi ini, jika kita amati dan perhalusi pendekatan pentadbirannya.

“Gagasan 1Malaysia adalah manifestasi jelas. Pengiktirafan 16 September sebagai Hari Malaysia adalah satu lagi contoh cukup terang. Betapa kedudukan Sabah dan Sarawak itu tidak pernah diasimilasi,” kata beliau .

Ada yang skeptikal

Dr Salleh yang mengeluarkan kenyataan menyokong Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengenai autonomi berkaitan kuasa imigresen dan kuasa-kuasa negeri telah mendapat pelbagai reaksi dari rakyat Sabah.

Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang skeptikal kerana kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam parti Umno di Sabah.

“Perbezaan intepretasi adalah perkara biasa. Pokoknya, sebagai orang Sabah, kita harus sama-sama mempertahankan kepentingan dan keistimewaan yang ada seperti dipersetujui semasa merdeka dahulu.

“Ini penting kerana kita bertanggungjawab menentukan jalan di hadapan. Dalam konteks ini, kita harus membuka minda.

“Meluaskan pandangan, berfikir di luar kotak. Bahawa semua ini terbentuk atau dibentuk bagi memenuhi aspirasi gagasan.”

“Ini pandangan peribadi saya dan mungkin pandangan pihak lain berbeza. Yang penting ada semangat saling hormat-menghormati dan bersetuju bahawa Sabah adalah rakan pembentukan negara dan seharusnya mempunyai kuasa autonomi,” tegas bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Menurut beliau lagi, Perkara 20, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia, ia adalah fakta dan sejarah.

Sememangnya termaktub dan tertulis dengan jelas, sama ada sebagai dokumen memorandum politik atau perjanjian.

Ia menggariskan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Perkara 20 dan Perlembagaan Malaysia adalah dua ‘dokumen’ berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi tersendiri.

Dua dokumen berasingan


Perkara 20 merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14. Manakala Perkara 20 diwujudkan oleh pemimpin politik Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan lima parti politik utama Sabah kepada Inter-Governmental Committee (IGC) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru, untuk Persekutuan Malaysia yang baru, dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.

Memorandum 20 Perkara ini merupakan perlindungan perlembagaan yang paling minima yang pakatan parti-parti politik Sabah mahukan. Wakil-wakil Sarawak juga telah bentangkan Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama.

Jawatankuasa IGC sudah menggabungkan atau memasukkan perlindungan-perlindungan Perkara 20 dan 18 ini bila mereka membuat pindaan-pindaan relevan terhadap Perlembagaan Malaya ketika itu.

Semua pindaan-pindaan perlembagaan ini boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa IGC ini.

Dari sisi undang-undang, Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. I

Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.

Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan Malaya, Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran Bab 3 Laporan IGC (Lampiran A dan B) sekiranya ia tidak dilindungi atau didapati dalam Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh Jawatankuasa IGC dan tidak tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan IGC, maka Perkara 20 tidak lagi relevan ke tahap itu.

Hak-hak yang termaktub di dalam Perkara 20 bergantung kepada Laporan IGC yang menjadi sumber asas untuk Perjanjian Malaysia dan seterusnya Perlembagaan Malaysia.

Secara contoh, salah satu Perkara 20 yang tidak direkodkan ke dalam Laporan IGC merupakan Perkara No. 3 yang mengharuskan setiap pindaan terhadap Perlembagaan Sabah perlu mendapat persetujuan rakyat (melalui referendum).

Namun ini tidak dilihat di dalam Laporan IGC. Maka dengan itu, Perkara 3 ini tidak lagi relevan untuk masa sekarang.

Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari Laporan IGC untuk mengenalpasti pengesyoran mana yang belum lagi dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Dan bukannya menguatkuasakan Perkara 20 kerana ia bukannya dokumen undang-undang yang relevan untuk masa kini.

Dr Salleh juga meminta jangan ditimbulkan kekeliruan mengenai isu terutama kepada golongan muda yang mudah dipengaruhi.

Penerangan mesti diberikan dan semua pihak perlu menjalan peranan masing-masing.

FMT Borneo Plus

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.