Perjanjian Damai MILF-kerajaan Filipina selesaikan masalah PTI Sabah

Friday, 28 March 2014

Najib dan Benigno di Istana Malacang, Manila pada 27 Mac.

Kedamaian diharap dapat mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk pencerobohan kumpulan militan dan memastikan pantai timur Sabah selamat.

KOTA KINABALU: Perjanjian damai di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan menjadi ‘titik permulaan’ yang baik bagi Sabah yang sudah bosan dengan pelbagai masalah yang ditimbulkan pendatang haram hingga ia digelar sebagai ‘ibu kepada segala masalah.’

Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) menyambut baik perjanjian komprehesif mengenai Bangsamoro (CAB) di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) itu,

Presidennya Newmond Tibin dalam satu kenyataan hari ini berkata, perjanjian itu adalah titik permulaan” yang baik untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin (PATI) yang tidak berkesudahan di Sabah.

Beliau yakin perjanjian itu dapat mewujudkan keamanan di selatan Filipina yang kondusif untuk pertumbuhan ekonominya.

“Apabila wujud keamanan dan kestabilan politik serta ekonomi di kawasan itu, maka mudahlah kerajaan bersama rakyat selatan Filipina membangunkan wilayah selatan negara jiran itu.

“Pekadin percaya ini akan membawa perubahan besar dari segi pembangunan termasuk peluang pekerjaan, perniagaan dan mengurangkan pengangguran serta penghijrahan ke Sabah,” katanya mengulas perjanjian penuh di antara kerajaan Filipina-MILF yang diusahakan Malaysia di perkarangan Istana Malacanang di Manila, Filipina.

Majlis menandatangani perjanjian pada Khamis (Mac 27) dihadiri dan disaksikan oleh Presiden Filipina, Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rundingan damai dengan MILF yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970an, yang sehingga kini sudah meragut lebih 100,000 nyawa.

Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur menyertainya pada 2001.

Newmond berkata, dengan perjanjjian itu, masalah kebanjiran pendatang tanpa izin Filipina mungkin dapat diselesaikan dan melegakan kebimbangan rakyat Sabah yang merasa terancam dengan kehadiran mereka.

“Saya lihat perjanjian ini juga akan memberi ruang kepada warga Filipina, terutama yang tidak mempunyai dokumen sah untuk kembali ke negara asal supaya menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Newmond berharap dengan adanya keamanan dan kemakmuran berkekalan di wilayah itu, aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk pencerobohan kumpulan militan tidak lagi berlaku, sekaligus memastikan perairan pantai timur Sabah atau Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) lebih selamat.

Katanya, ini juga akan memudahkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengawal keselamatan di kawasan ESSZONE. - JJ

Borneo Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.