PKR Sabah rugi, UPKO untung

Thursday, 20 March 2014

KOTA KINABALU: Kerugian bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah tetapi untung bagi Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Seramai 100 orang termasuk beberapa pemimpin kanan PKR Sabah daripada Cabang Tuaran, memberikan ‘undi percaya’ kepada Datuk Wilfred Madius Tangau apabila mereka menyerahkan borang untuk menjadi ahli Upko di sini, Rabu.

Tidak sia-sia tindakan Tan Sri Bernard Dompok berundur dan kemudian melantik Madius sebagai penggantinya untuk menerajui Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), lebih seminggu yang lalu.

Timbalan Presiden Upko merangkap Ahli Parlimen Tuaran itu akan menjadi Pemangku Presiden Upko berikutan perletakan jawatan Dompok berkuat kuasa esok (21 Mac).

Setiausaha Pakatan Rakyat Tuaran, Mohd Fairuz Bandar mengetuai seramai 100 orang yang menyerahkan borang keahlian itu.

“Kami sepakat keluar daripada PKR kerana PKR hanya indah khabar dari rupa. Kalau diperkatakan satu persatu, ia akan memakan masa yang sangat panjang mengenai keburukan parti itu.

“Cukuplah kami katakan, PKR bukanlah pilihan terbaik jika kita mahu negara terus progresif and makmur,” kata Fairuz yang menjadi jurucakap kumpulan itu.

Menurutnya, tindak tanduk PKR, terutama di kalangan kepimpinan tertinggi parti dalam pilihan raya umum Mei lalu membuka mata mereka dan parti itu tidak wajar disokong.

Fairuz menerangkan, ramai menyertai PKR pada mulanya kerana tertarik dengan perjuangannya seperti mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan, meminta kenaikan royalti minyak lima peratus kepada 20 peratus dan meminta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai pendatang asing tanpa izin.

“Kepimpinan PKR gagal melaksanakan semua itu. Autonomi, contohnya, PKR Sabah langsung tidak diberi kuasa membuat keputusan. Kami hilang kepercayaan PKR kerana mereka tidak sungguh-sungguh melaksanakan apa yang termaktub dalam Buku Jingga,” tegas Fairuz.

“Kami sokong Upko tanpa paksaan dan tanpa mengharapkan apa-apa. Kami mahu memperkasakan lagi Upko, lebih-lebih lagi kerana pemimpin dari kawasan kami bakal menerajui parti itu,” katanya.

Sementara itu, Madius mengalu-alukan kemasukan mereka dan yakin Upko Tuaran dan Upko secara keseluruhannya akan semakin mantap berlandaskan slogan FBI iaitu Fokus, Berani dan Ikhlas.

“Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok memastikan Upko dilandasan yang betul, senantiasa berkompaskan ideologi perjuangan dan perlembagaan parti,” katanya.

Borang keahlian disampaikan oleh Fairuz kepada Setiausaha Agung Upko, Datuk Donald Mojuntin dan disaksikan Madius bersama beberapa Ahli Majlis Tertinggi Upko.

Antara yang menyerahkan borang ialah beberapa AJK Cabang PKR Tuaran termasuk Petrus Longkod, Gazali Suhaili, Rawnose Lumpisau Timbalan Ketua Pemuda Cabang PKR Tuaran dan Exco Pemuda Sabah, Mohd Shazwan Elmey Madly serta AJK Wanita Cabang PKR Tuaran, Loutim Verra Marusin.

Borneo Insider 
 
PKR SABAH RUGI.. UPKO UNTUNG.. SABAHAN RUGI DULU, KINI DAN SELAMANYA..

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.